GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesahkan mainan plastik kanak-kanak mengandungi bahan kimia beracun iaitu parafin berklorin.
Justeru itu, ibu bapa digesa supaya mengelak daripada membeli alat mainan plastik untuk anak-anak mereka.
Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, parafin berklorin terdapat dalam pelbagai jenis plastik termasuk alat mainan plastik kanak-kanak.
Jelas Mohideen, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa parafin berklorin menjejaskan kesihatan.
Kerosakan pada hati dan buah pinggang, sistem endokrin terganggu, kanser dan kerosakan otak yang sedang berkembang adalah antara kesan pendedahan parafin berklorin.
“Bukti juga menunjukkan parafin berklorin dibebaskan daripada plastik melalui kitaran hayatnya.
“Kanak-kanak boleh terdedah kepada bahan kimia dalam alat permainan melalui penyedutan habuk toksik, sentuhan kulit dan melalui pendedahan di mulut dengan mengunyah,” kata Mohideen.
Ujar Mohideen lagi, International Pollutants Elimination Network (IPEN) telah menjalankan kajian ke atas 31 sample alat mainan plastik.
Sample itu dikumpulkan dari 10 buah negara termasuk Malaysia.
Hasilnya, didapati kedua-dua parafin berklorin rantai pendek (SCCP) dan parafin berklorin rantai sederhana (MCCP) ditemui dalam semua alat mainan yang diuji.
“Antara alat mainan yang diuji ialah kuda tiup, ayam dan itik getrah, anak patung serta beruang plastik.
“Sample ini dianalisis di makmal di Parague.
“Beberapa alat permainan yang diuji mengandungi paras SCCP yang tinggi dan sangat toksik sehingga boleh diklasifikasikan sebagai sisa berbahaya,” katanya.
Penemuan oleh IPEN pada Oktober lalu itu amat membimbangkan.
Justeru, terdapat keperluan untuk mengawal selia bahan kimia tersebut secara global.
Tambah Mohideen lagi, SCCP turut tersenarai sebagai bahan kimia yang perlu dihapuskan di bawah Konvensyen Stockholm pada 2017.
Namun Malaysia masih belum meratifikasi konvensyen itu.
Disebabkan itu, CAP menggesa Kerajaan Pusat meratifikasi Konvensyen Stockholm itu dengan segera untuk kebaikan semua pihak.