CALIFORNIA- Ibu kepada seorang pelajar sekolah menengah baru-baru ini mendakwa bahawa kakitangan sekolah telah mengindoktrinasi anak perempuannya yang ketika itu berusia 12 tahun dalam kelab LGBTQ yang menyamar sebagai kelab yang memperjuangkan kesaksamaan.
Dua orang guru di Buena Vista Middle School di Salinas dirakam sedang meminta guru lain untuk menyembunyikan identiti sebenar kelab LGTBQ daripada pengetahuan ibu bapa pada persidangan Persatuan Guru California di Palm Springs, California yang telah berlangsung pada 29 Oktober hingga 31 Oktober lalu.
Jessica Konen mendakwa bahawa salah seorang guru di sekolah itu telah memujuk anak perempuannya untuk menyertai “Equality Club” pada waktu makan tengah hari dan mula meyakinkan anak perempuannya bahawa dia adalah ‘transgender’.
Semasa di penghujung darjah enam, anak perempuan Konen memberitahu bahawa dia mungkin seorang yang biseksual. Tidak lama selepas itu Konen dipanggil ke sekolah untuk pertemuan bersama anak perempuannya dengan disertai oleh seorang guru dan pengetua sekolah.
Guru itu menuduh Konen tidak “menyokong emosi” anak perempuannya, yang akan menggunakan nama lelaki dan akan menggunakan tandas uniseks di sekolah.
Konen juga berkata dia terasa hati kerana anak perempuannya tidak berjumpa dengannya terlebih dahulu dan memberitahu tentang dirinya atau keinginannya untuk menukar jantina. Mendengar luahan itu guru tersebut hanya tersenyum mengejek.
Beberapa hari selepas pertemuan itu, Jabatan Polis King City datang ke rumahnya dan memberitahu bahawa terdapat aduan dibuat kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS). Polis kemudian menyoal dua orang anaknya dan bertanya sama ada mereka mahu dikeluarkan dari rumah.
Walau bagaimanapun, Konen akur dan membawa anak-anaknya bertemu dengan CPS minggu itu seperti yang diarahkan.
Menurut Konen, CPS kemudian menggugurkan kes itu dan tidak meminta dia memanggil anak perempuannya dengan kata ganti nama lelaki seperti yang disuruh oleh gurunya.
Selepas beberapa pertemuan dengan guru-guru, Konen mendapati bahawa sekolah itu tahu bahawa anak perempuannya pernah mencari maklumat tentang bunuh diri di internet. Walau bagaiamanapun, pihak sekolah tidak pernah memberitahunya mengenai perkara tersebut.
Anak perempuannya, kini berusia 14 tahun, telah meninggalkan Buena Vista dan kini bersekolah di sekolah baharu di mana dia menggunakan nama asalnya.
Konen juga pernah bertanya kepada anaknya sama ada dia benar-benar mahu hidup dan menggunakan nama perempuan atau sebaliknya. Hal ini kerana dia tiada masalah jika anaknya mahu menggunakan nama lelaki. Anaknya perempuannya kemudian memberitahu bahawa mereka (yang berada di sekolah) bukanlah orang yang baik.
“Keadaan menjadi lebih baik. Dia berada di sekolah yang berbeza, persekitaran yang berbeza. Tiada siapa yang menekannya,” kata Konen.