Kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak sering kali berlaku. Ada kanak-kanak yang dilaporkan hilang, ada yang didera dan paling mengerikan jika mendengar berita tentang kanak-kanak yang dibunuh. Namun begitu, masih ada ibu bapa yang culas dalam menjaga anak kecil mereka di tempat awam.
Baru-baru ini seorang netizen menceritakan tentang pengalamannya melihat seorang kanak-kanak ditinggalkan di atas motosikal bersendirian. Menurut wanita itu, dia terlihat seorang kanak-kanak itu semasa dia dan anak perempuannya, Hannah keluar dari sebuah kedai.
Melihat keadaan itu dia terus menuju ke arah kanak-kanak itu dan bertanya di mana ayahnya berada. Dalam masa yang sama dia turut mendukung kanak-kanak itu untuk turun dari motosikal kerana bimbang si kecil itu terjatuh. Kanak-kanak itu kemudian menunjukkan ke arah kedai di mana ayahnya berada. Wanita itu kemudian memutuskan untuk menemani kanak-kanak itu sehingga bapanya kembali.
Namun, apabila bapa kanak-kanak itu kembali lain pula yang berlaku. Lelaki berumur lewat 30-an itu malah marah akan wanita yang membantu menemani anaknya. Menurutnya wanita itu hanya menyibuk dan dia sebagai bapa dia tahu untuk menjaga anaknya sendiri.
Walaupun menerima respons negatif wanita itu tetap tenang dan terus menasihati bapa kanak-kanak tersebut. Menurutnya, dalam masa 4 minit anaknya ditinggalkan bermacam perkara buruk boleh berlaku kepada anak kecilnya itu.
Wanita itu kemudian mengingatkan orang ramai untuk membantu menjaga kanak-kanak yang ditinggalkan seperti itu. Ya, mereka memang bukan anak-anak kita sendiri tetapi mereka tidak bersalah atas sikap tidak bertanggungjawab ibu bapa mereka. Mungkin akan ada yang tidak suka dengan bantuan seperti itu tetapi apa yang penting keselamatan anak kecil terjamin.