Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin (penggalak) dalam usaha bagi meningkatkan perlindungan khasnya golongan rentan.
Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keutamaan dos ketiga itu tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.
Ia meliputi anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit yang mempunyai daya ketahanan imun yang rendah serta warga tua dengan komorbiditi.
Pemberian dos ketiga berkenaan juga menurutnya akan mula diberikan setelah 80% populasi negara sudah divaksinasi.
Setakat 19 September, sebanyak 78.2% populasi dewasa negara sudah menerima vaksin COVID-19.
“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini”.
“Kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 dan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan”, akhirinya.