TOKYO: Rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, telah ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) sebentar tadi.
Keputusan tersebut membuatkan Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.
Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.
Penyertaan Ziyad walau bagaimanapun dibatalkan selepas berlakunya protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).
Ekoran pengumuman itu, Ziyad menitipkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia melalui akaun Instagram miliknya. Atlet berusia 31 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepadanya.
Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.
Terdahulu, Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.