PATUTAN: Usaha terakhir seorang ibu sebelum maut adalah dengan mencuba menyelamatkan anak lelakinya ketika mereka berhadapan detik dirempuh kereta api di landasan kereta api berhadapan Kg Petagas, dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari Selasa, 19 November.
Menurut orang ramai di tempat kejadian, wanita berusia 41 tahun itu dipercayai telah menolak anaknya untuk menjauhinya dalam usaha membawanya ke tempat selamat sebelum dia digilis kereta api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, Lena Gabin meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya yang berusia 11 tahun putus kaki dan cedera parah di lengan serta kepala.
Beliau berkata menurut saksi, kedua anak-beranak itu sedang melintasi landasan ketika kereta api yang sedang menuju ke Kota Kinabalu dari daerah Beaufort menghampiri dan mereka tidak dapat menyeberang tepat pada masanya.
Kejadian difahamkan berlaku sewaktu kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dengan berjalan kaki dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas ke rumah mereka di Kampung Muhibbah, Petagas yang terletak di seberang landasan.
Wanita itu diseret kira-kira 20 meter dari lokasi dia dirempuh manakala anaknya ditemui terduduk sambil menangis kesakitan agak jauh daripada ibunya.
Noor Sherriyana berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 tengah hari dan tiba di tempat kejadian pada 2.20 petang.
Mereka membantu mengeluarkan mayat wanita berkenaan dari landasan dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sementara kanak-kanak itu dirawat oleh pegawai perubatan di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut, tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kenyataan media akan dikeluarkan selepas pegawai penyiasat selesai membuat siasatan awal di lokasi kejadian.