KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan nasihat Taufan Man-Yi yang baru-baru ini melanda Filipina.
Menurut METMalaysia, taufan berkenaan bergerak ke arah Barat Laut dengan kelajuan 20 kilometer sejam dan kelajuan angin maksimum 120 kilometer sejam.
Tambah METMalaysia lagi, kedudukan taufan tersebut pada latitud 18.1 Utara dan longitud 118.3 Timur, kira-kira 229 km ke Barat Laut Vigan City, Filipina dan jarak 1,257 km ke Timur Laut Kudat, Sabah.
Associated Press melaporkan Taufan Man-yi telah menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban dibawah runtuhan tanah, puluhan rumah musnah dan ramai penduduk kampung berpindah sebelum bergerak keluar dari utara Filipina.
Man-Yi adalah salah satu daripada enam taufan paling kuat yang melanda utara Filipina dalam tempoh kurang sebulan dengan kelajuan angin berterusan sehingga 195 kilometer sejam (125 batu sejam) ketika ia membadai wilayah pulau timur Catanduanes pada malam Sabtu.
Menurut Ketua Polis Wilayah Brig. Jen. Antonio P.Marallag Jr, hujan lebat dan angin kencang yang dicetuskan oleh Taufan Man-yi telah menyebabkan tanah runtuh pada awal pagi Isnin di bandar utara Ambaguio di wilayah Nueva Vizcaya, membenamkan sebuah rumah dan membunuh tujuh orang termasuk kanak-kanak serta tiga orang lain cedera di dalam rumah itu.
Susulan daripada taufan itu, Presiden Ferdinand Marcos Jr. meminta Kabinetnya serta para pegawai wilayah untuk bersedia menghadapi “senario terburuk.”
Sungguhpun begitu, METMalaysia menjangka Taufan Man-yi itu tidak memberi kesan signifikan di Malaysia.