FORT PIERCE: Taufan Milton yang telah melemah tetapi masih berbahaya meninggalkan Florida, Amerika Syarikat pada awal Khamis, selepas menyebabkan jalan raya dan rumah dilanda banjir, menumbangkan pokok serta talian elektrik, yang memutuskan bekalan kuasa kepada jutaan penduduk.
Sekurang-kurangnya 11 orang maut selepas taufan itu membadai merentasi pantai barat negeri itu pada petang Rabu, 9 Oktober waktu tempatan, menurut kenyataan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas.

Kematian membabitkan lima mangsa di daerah St Lucie, manakala tiga lagi di Volusia dan dua di St Petersburg dengan punca kematian dikenal pasti akibat puting beliung, katanya.
Manakala di daerah Polk, seorang kakitangan penyelenggaraan jalan raya disahkan maut selepas dilanggar kenderaan rakan sekerjanya ketika mengalihkan pokok tumbang.

Taufan Milton melanda pantai barat Florida dikategori sebagai Taufan Kategori 3 dengan kelajuan angin sehingga 193 kilometer sejam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), sebelum kehilangan kekuatannya ketika melintasi bahagian tengah negeri tenggara AS itu.
Menjelang waktu matahari terbit pada Khamis, Milton telah diturunkan kepada Taufan Kategori 1 ketika ia bergerak ke Lautan Atlantik. Kelajuan angin maksimum yang berterusan adalah 150 kilometer sejam.

Sistem ribut besar itu terus membawa hujan lebat, angin yang merosakkan, dan banjir kilat. Media AS menunjukkan gambar jalan raya pada waktu malam bertukar menjadi sungai di Bandar Tampa, St. Petersburg dan Sarasota.
Jumlah hujan antara 20 hingga 35 sentimeter melanda bahagian tengah hingga utara semenanjung Florida pada Khamis, 10 Oktober.

“Hujan ini membawa risiko banjir kilat dan banjir bandar yang dahsyat dan mengancam nyawa, serta banjir sungai yang sederhana hingga besar,” kata agensi mengenai taufan itu.
Milton menghasilkan 19 puting beliung ketika ia menghampiri Florida dari Teluk Mexico pada petang Rabu. Sheriff Keith Pearson dari Daerah St. Lucie dipetik oleh media tempatan sebagai berkata beberapa kematian berlaku akibat puting beliung, namun tidak memberikan jumlah korban yang tepat.

Pasukan penyelamat dan pegawai kerajaan berkata tahap kemusnahan sepenuhnya tidak akan diketahui sehingga waktu siang.
Sementera itu, Gabenor Florida Ron DeSantis, menyifatkan kesan ribut itu agak ketara tetapi tidak seburuk yang diramalkan sebelum ini.

Taufan Milton menjejaskan komuniti yang masih terkesan akibat Taufan Helene dua minggu lalu, yang mengorbankan 237 orang di Florida dan beberapa negeri tenggara lain.
Sementara itu, pakar taufan, Michael Lowry, berkata 126 amaran puting beliung dikeluarkan Perkhidmatan Cuaca Nasional di seluruh negeri kelmarin, jumlah tertinggi pernah dikeluarkan dalam sehari sejak 1986.