PARIS: Azizulhasni perjelas keadaan sebenar yang berlaku menerusi satu hantaran di Facebook berikutan penyertaannya dalam acara Keirin dibatalkan.
Menurut Azizulhasni, dia tiada niat memintas pacer ketika saringan pertama tersebut melainkan disebabkan dua keadaan genting.
Keadaan pertama di mana Azizulhasni disekat dan dihimpit oleh pelumba Perancis, Rayan Helal.
Keadaan kedua pula ialah tindakan pacer yang bergerak pada kelajuan tidak sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.
Azizulhasni menjelaskan bahawa hasil perbincangan bersama jurulatih John Beasley adalah dia akan terus ke hadapan dan cuba mendapatkan posisi hadapan seawal mungkin.
Hal ini disebabkan terdapat beberapa pelumba front runner (senko) dan jika mereka memecut awal, ini akan merisikokan Azizulhasni untuk bergerak ke hadapan pada kelajuan tinggi.
Selain itu, jika menggunakan taktik menunggu, kemungkinan untuk Azizulhasni disekat dan dihimpit beberapa pelumba hadapan juga boleh berlaku.
Azizulhasni menjelaskan bahawa perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama dan kedua dan selepas pacer keluar dia akan terus memecut untuk merebut kedudukan paling hadapan (pertama).
“Namun ketika melepas selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba France.”
“Himpitan itu terlalu aggresive dan bagi saya ianya adalah intentionally aggressive kerana melanggar saya (boleh rujuk gambar) dan saya hampir terjatuh. Saya terselamat daripada jatuh kerana quick reaction dan good handling skill yang saya ada.”
Jelas Azizulhasni lagi, Helal masih mengekor rapat disebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua. Disebabkan itulah Azizulhasni bergerak ke hadapan bagi mengelak Helal.
Selain itu, tindakan pacer yang bergerak lebih perlahan daripada kelajuaan sebenar serta tidak memecut keluar selepas selekoh empat juga menjadi punca Azizulhasni dilihat memintas pacer.
“Sebagai seorang pelumba Keirin yang elite, kita tahu speed / kelajuan untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di lap terakhir pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55kmh.”
“Akan tetapi pada perlumbaan saya tadi, pacer bergerak lebih perlahan berbanding speed sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat.”
Melihatkan keadaan itu, Azizulhasni cuba memperlahankan kelajuannya namun tidak sempat hingga menyebabkan dia “ditangkap” memintas pacer.
“Saya yang tengah bergorak dengan pelumba France itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut, dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan.”
Azizulhasni mengakui tayar belakangnya memotong pacer sebelum pacer keluar namun ia tidak disengajakan disebabkan dua keadaan tersebut.
Susulan kejadian itu, jurulatih John Beasley dan pengurus pasukan Izham Mohammad terus berjumpa dengan pihak panel komisar bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Selain itu, mereka juga memohon untuk melihat semula rakaman video perlumbaan dan keputusan, namun pihak panel komisar memilih untuk kekal dengan keputusan yang sama.
Suatu ketika dahulu, jurulatih dan pasukan boleh membawa hujah dan video untuk disemak semula namun kali ini peraturan tersebut tidak lagi diguna pakai.
Menerusi hantaran tersebut itu juga, Azizulhasni memohon agar orang ramai memberi sokongan dan doa kepada rakan sepasukannya Shah Firdaus yang akan menggalas tanggungjawab dan harapan baru untuk membawa pulang pingat emas buat negara.
Dalam pada itu, Hannah Yeoh menerusi hantaran di Facebooknya berkata dia lebih mengutamakan keadaan emosi Azizulhasni selepas apa yang terjadi.
Menteri Belia dan Sukan itu juga meluahkan rasa kecewa akan keputusan penyingkiran Azizulhasni daripada acara Keirin namun terpaksa menerimanya dengan hati terbuka.
Hannah juga meminta agar ibu bapa yang menonton pelumbaan tersebut bersama anak-anak agar menjelaskan dengan baik akan keadaan sebenar yang menimpa Azizulhasni.
Penyertaan Mohd Azizulhasni dalam saringan pertama acara Keirin lelaki dibatalkan kerana dikesan memintas derny-basikal elektrik yang bertindak sebagai pacer.