Pada 19 Julai masalah melibatkan gangguan teknologi secara besar-besaran dilaporkan telah berlaku di seluruh dunia sehingga menjejaskan kebanyakan perkhidmatan perbankan, saluran media dan penerbangan.
Perkara itu juga telah menyebabkan sesetengah penerbangan terpaksa dibatalkan manakala proses mendaftar masuk penumpang dilakukan secara manual.
Pada masa yang sama, platform Bursa Saham London (LSE) juga tidak beroperasi seperti biasa akibat gangguan yang berlaku.
Memetik laporan BBC, syarikat teknologi perisian Microsoft berkata pihak mereka sedang mengambil tindakan mitigasi berkaitan perkara ini.
“Pemadaman sistem itu bermula kira-kira pukul 6 petang 18 Julai (waktu tempatan).
“Kami sedang menyiasat perkhidmatan Cloud di Amerika Syarikat (AS) dan isu yang memberi kesan kepada beberapa aplikasi dan perkhidmatan,” kata Microsoft.
Menurut laporan CNA, gangguan ini dipercayai melibatkan isu perisian keselamatan CrowdStrike yang boleh menjejaskan pengguna Microsoft Windows di seluruh dunia.
CrowdStrike walau bagaimanapun dalam kenyataan mereka menjelaskan pihak mereka sedang menyiasat perkara ini selepas menerima banyak laporan yang diterima melibatkan skrin bertukar biru akibat Blue Screen of Death (BSOD).
CrowdStrike yang digunakan oleh industri seluruh dunia merupakan sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat berpangkalan di Austin, Texas.
Malaysia dikatakan turut terjejas dengan gangguan IT yang berlaku selepas hantaran dan gambar memaparkan barisan panjang yang berlaku di kaunter daftar masuk Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Antara syarikat penerbangan yang terjejas adalah AirAsia selepas mereka memuat naik satu hantaran di IG Story (@airasiamove) dan X dengan memaklumkan segala tempahan pada platform mereka terjejas akibat isu gangguan IT.
“AirAsia MOVE kini sedang mengendalikan isu IT global dan juga mempengaruhi tempahan untuk AirAsia serta penerbangan lain di platform kami. Kami menghargai segala kesabaran anda sementara kami berusaha untuk menyelesaikan isu ini,” AirAsia memaklumkan.
Namun, tiada sebarang pembatalan penerbangan berlaku melibatkan syarikat penerbangan tambang murah berkenaan walaupun ia mengalami gangguan sistem dalaman, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, masalah teknologi ini tidak mengganggu operasi syarikat penerbangan Malaysia Airlines kerana tiada pembatalan dibuat setakat ini.
Walau bagaimanapun, penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan IT secara global ini boleh menjejaskan penerbangan melibatkan syarikat mereka.
Sementara itu, BBC melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Crowdstrike memohon maaf atas gangguan itu dan berkata arahan pembetulan telah dikeluarkan, tetapi mengakui ia mungkin “mengambil masa” sebelum semua sistem dapat dipulihkan.
Walaupun beberapa perkhidmatan syarikat penerbangan mula kembali normal selepas beribu-ribu penerbangan dibatalkan di seluruh dunia, pengendali menjangkakan beberapa kelewatan dan pembatalan akan berterusan sehingga hujung minggu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Crowdstrike George Kurtz berkata menerusi hantaran di X, kecacatan ditemui “dalam satu pengemaskinian kandungan untuk hos Windows”. Namun hos Mac dan Linux tidak terkesan.
“Insiden ini tidak melibatkan keselamatan atau serangan siber. Isu ini telah dikenal pasti, diasingkan dan proses pemulihan telah dijalankan,” tambah Kurtz.
“Kami memohon maaf atas impak yang telah kami timbulkan kepada pelanggan, kepada pengembara, kepada sesiapa sahaja yang terjejas oleh perkara ini, termasuk syarikat kami,” katanya kepada rangkaian NBC.
“Ramai pelanggan sedang reboot semula sistem dan ia akan datang dan bakal beroperasi.
“Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk sesetengah sistem yang tidak akan pulih secara automatik, tetapi ia adalah misi kami… dalam memastikan setiap pelanggan pulih sepenuhnya,” katanya.
Microsoft juga menyarankan reboot semula mungkin diperlukan, dengan beberapa pengguna melaporkan dengan melakukan sebanyak 15 kali mungkin diperlukan sebelum masalah dapat diselesaikan.
Selain itu, pakar teknologi berkata pembetulan Crowdstrike perlu dilakukan secara berasingan pada setiap peranti yang terjejas.