Lelaki yang terbunuh dalam perhimpunan kempen pilihan raya yang diadakan oleh bekas Presiden Donald Trump di Butler telah dikenal pasti oleh Gabenor Pennsylvania Josh Shapiro pada Ahad, 14 Julai sebagai Corey Comperatore.

Dalam sidang akhbar, gabenor Shapiro berkata Comperatore telah terkena tembakan ketika mangsa “menerpa keluarganya untuk melindungi mereka dalam perhimpunan ini,” kata Shapiro, memetik apa yang diberitahu isteri mangsa kepada pegawainya. Gabenor berkata Comperatore “adalah yang terbaik antara kami” dan menambah dengan harapan “ingatan mencucuri rahmat ke atasnya.”
Pada Ahad, Polis Negeri Pennsylvania mengesahkan identiti mangsa yang tercedera sebagai James Copenhaver, 74 tahun, dari Moon Township, dan David Dutch, 77 tahun, dari New Kensington. Keadaan terkini mereka dilaporkan stabil.

Bekas presiden dan pegawai penguatkuasa undang-undang berkata peluru menembusi telinganya semasa perhimpunan di Butler, Pennsylvania dalam kejadian 13 Julai. Jurucakap kempen mengesahkan Trump berada dalam keadaan baik-baik saja.
Ejen khas FBI Pittsburgh, Kevin P. Rojek, berkata dua orang lagi ditembak dalam apa yang disifatkannya sebagai cubaan membunuh yang menyasarkan presiden ke-45.
Suspek yang melepaskan tembakan dalam cubaan membunuh Trump dikenali sebagai Thomas Matthew Crooks, 20 tahun, yang berjaya ditembak mati di tempat kejadian oleh ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat.
“Corey seorang anggota bomba. Corey pergi ke gereja pada setiap hari Ahad. Corey menyayangi komunitinya, dan paling utama menyayangi keluarganya. Corey merupakan penyokong setia bekas presiden dan sangat teruja untuk berada di sana semalam untuk bertemunya bersama masyarakat lain,” kata gabenor itu.
Terdahulu pada hari itu, seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai kakak kepada mendiang Corey Comperatore menulis di media sosial dengan berkata mangsa “adalah seorang wira yang melindungi anak perempuannya,” sambil menambah keluarganya kini “hidup melalui perkara yang tidak dapat difikirkan dan tidak dapat dibayangkan.”
Juga dalam sidang akhbar yang sama, gabenor Shapiro berkata “percanggahan pendapat dalam politik tidak sekali-kali boleh ditangani melalui keganasan … kita perlu menggunakan proses politik secara aman dalam menyelesaikan perbezaan tersebut secara bertanggungjawab untuk bercakap dan bertindak dengan kejelasan moral.”
Gabenor Shapiro menggesa rakyat “menurunkan suhu dan mengatasi retorik kebencian,” sambil menambah walaupun Demokrat dan Republikan mungkin tidak bersetuju antara satu sama lain, “di atas segalanya kita adalah rakyat Amerika.”
“Kita perlu menangani perpecahan melalui penglibatan dan proses sivil,” tambah gabenor itu.
Penolakan yang sama ditawarkan oleh Speaker Dewan Rakyat Mike Johnson (R-La.), yang memberitahu NBC News pada Ahad bahawa “kita semua rakyat Amerika dan kita harus melayan satu sama lain dengan bermaruah dan saling hormat.”
“Kita boleh memanaskan wacana dan perdebatan politik, tetapi ia tidak sepatutnya bersifat peribadi, dan kita tidak sepatutnya menyasarkan seseorang dan orang awam,” tambah speaker dewan itu.
Serangan cubaan membunuh itu adalah yang pertama terhadap presiden Amerika Syarikat atau calon utama parti presiden sejak percubaan pembunuhan Presiden Republikan Ronald Reagan pada 1981. Ia akan menggegarkan kempen presiden kurang daripada empat bulan sebelum pilihan raya presiden, dan ia mungkin mengubah protokol dan situasi keselamatan di sekitar Konvensyen Kebangsaan Republikan, yang bermula Isnin, 15 Julai di Milwaukee.
Penganjur, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Republikan Michael Whatley, berkata konvensyen itu akan diteruskan seperti yang dirancang.
Bekas presiden itu, mengesahkan pada Ahad akan menghadiri konvensyen itu, menyeru agar semua bersatu selepas cubaan pembunuhan itu sambil berterima kasih kepada orang ramai atas “ingatan dan doa mereka semalam, kerana Tuhan sahaja yang menghalang perkara tidak dingini daripada berlaku.”

“Kami TIDAK AKAN TAKUT, tetapi sebaliknya tetap berdaya tahan berhadapan dengan kejahatan,” tulisnya di Truth Social, sambil menambah “ingatan kasih sayang ditujukan untuk mangsa yang lain dan keluarga mereka” dan untuk pemulihan mereka yang telah cedera.
Mengulas mengenai kematian mangsa, bekas presiden itu menyeru rakyat Amerika untuk “menyimpan di dalam hati dan ingatan terhadap warga yang terbunuh dengan begitu mengerikan,” menurut hantarannya.
Sementara itu, Presiden Joe Biden, yang bakal bertanding menentang bekas Presiden Trump, mengesahkan beliau telah diberi taklimat terperinci mengenai serangan itu dan telah meghubungi bekas presiden itu beberapa jam selepas insiden tembakan.
“Malam tadi, saya bercakap dengan Donald Trump. Saya amat bersyukur kerana beliau berada dalam keadaan baik. Kami berbual ringkas tetapi baik,” kata Presiden Biden.
“Saya telah diberi taklimat terperinci oleh semua agensi dalam kerajaan persekutuan mengenai situasi ini berdasarkan apa yang kita ketahui sekarang.
“Tiada tempat di Amerika untuk jenis keganasan ini, ia sesuatu yang amat tidak sihat,” kata Presiden Biden kepada pemberita di Delaware yang menggesa agar keganasan politik ditamatkan.