LONDON – Putera Harry dilaporkan pulang ke United Kingdom (UK) untuk berada di sisi ayahandanya, selepas pengumuman Istana Buckingham bahawa Raja England, Raja Charles III menghidap kanser.
Istana Buckingham mengumumkan pada 5 Februari bahawa Raja Charles yang menaiki takhta sejak 18 bulan lalu, didiagnosis kanser semasa dirawat secara berasingan kerana pembesaran prostat.
Sumber diraja itu memberitahu kanser yang dikesan bukanlah kanser prostat, namun enggan berkongsi lanjut.

Walaupun tiada butiran lanjut diberikan oleh Istana Buckingham tentang jenis kanser, Perdana Menteri Rishi Sunak mendedahkan kepada BBC Radio 5 Live bahawa keadaan raja telah “dikesan awal”.
Apabila ditanya mengenai maklumat apa berdasarkan komennya, Rishi merujuk kepada fakta bahawa Istana Buckingham telah mengambil perhatian segera bersama campur tangan pasukan perubatannya.
Sementara itu, Duke of Sussex Putera Harry telah tiba di London sejak Selasa, 6 Februari dari California, Amerika Syarikat untuk berada di sisi ayahandanya.
Putera kedua Raja Charles III itu sebelum ini terlibat dalam pertelingkahan keluarga diraja sejak beliau dan isterinya, Meghan Markle yang juga Duchess of Sussex, berundur daripada tugas diraja.
Kepulangan Putera Harry telah mencetuskan spekulasi tentang perdamaian dengan keluarganya, selepas bertahun-tahun terpisah.
Bagaimanapun, sumber diraja berkata, tiada rancangan untuk Putera Harry bertemu abangnya Putera William semasa beliau berada di London.

Walaupun keadaan kesihatan Raja Charles III mengejutkan negara, Putera Harry telah dipanggil pulang oleh ayahandanya sebelum istana mengeluarkan pengumuman rasmi.
Putera William serta adik-beradik Raja Charles III iaitu Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward juga dimaklumkan berita duka itu secara peribadi.
Bagaimanapun, kelibat isteri Putera Harry, Meghan dan dua anak mereka, Putera Archie dan Puteri Lilibet tidak kelihatan kembali ke UK.
Putera Harry dan keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat selepas meninggalkan tugas diraja pada tahun 2020 dan beliau juga melawat UK beberapa kali pada tahun lalu untuk menghadiri prosiding kes fitnah, yang membabitkan akhbar di negara itu.
Tidak jelas di mana Putera Harry akan tinggal semasa berada di Britain.
Hubungan Putera Harry dengan keluarganya telah bertahan sejak beliau dan Meghan berundur pada 2020 selepas mereka berpindah ke California.

Pasangan itu turut mencetus kontroversi apabila mendedahkan dalam wawancara eksklusif kepada personaliti tersohor dunia, Oprah Winfrey dengan membuka rahsia keluarga diraja termasuk isu perkauman diraja.
Hubungan dingin keluarga diraja itu berganda selepas Netflix menerbitkan enam siri dokumentari pasangan itu dan keadaan bertambah buruk selepas Putera Harry membuat pendedahan mengejutkan dalam memoir, ‘Spare’ dengan dakwaan bahawa beliau pernah diserang secara fizikal oleh abangnya, Putera William.
Penampilan terakhir Putera Harry bersama keluarga diraja Britain adalah ketika pertabalan Raja Charles III pada Mei lalu.