IPOH: Sebuah Perodua Myvi yang dipandu lelaki Switzerland merempuh sebuah stesen minyak di Taman Canning ketika pemandu itu hendak mengisi minyak.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, pemandu berkenaan sedang membetulkan keretanya sebelum mengalami kekejangan kaki kanan secara tiba-tiba.
“Akibat daripada itu, pemandu berkenaan tidak dapat mengawal kenderaannya hingga terbabas ke hadapan lalu melanggar motosikal jenis Yamaha yang diparkir dan merempuh dinding kaca premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, penunggang motosikal berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.
Tambah Yahaya, kejadian yang berlaku pada pukul 10.30 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita yang berada di situ cedera di kaki kanan.
Kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Video dan gambar kejadian Myvi dipandu lelaki Switzerland berusia 77 tahun yang merempuh stesen minyak itu tular di laman Facebook sejak Selasa.