Pencetus filem “The Terminal” Mehran Karimi Nasseri, yang terkandas di lapangan terbang Perancis selama 18 tahun dilaporkan meninggal dunia awal November lalu. Pencetus filem yang dibintangi oleh Tom Hanks itu menjadikan Lapangan Terbang Charles de Gaulle sebagai rumahnya sejak tahun 1988 hingga 2006.
Dilahirkan pada tahun 1945 di wilayah Khuzestan, Iran, Nasseri dikatakan pertama kali terbang ke Eropah untuk mencari ibunya.
Pada awalnya, Nasseri mengatakan bahawa dia telah dibuang dari tanah airnya kerana terlibat dengan aktiviti antikerajaan pada tahun 1977. Sekembalinya ke Iran, dia dipenjarakan sebelum diasingkan.
Selepas itu, Nasseri mengelilingi Eropah selama beberapa tahun dengan kertas pelarian sementarea sebelum tiba di Belgium. Di sana, Nasseri diberikan status pelarian rasmi pada tahun 1981.
Untuk beberapa tahun, Nasseri mengembara ke Britain dan Perancis tanpa sebarang masalah. Sehinggalah pada tahun 1988, dia tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle dengan tiket sehala ke London, beberapa helai pakaian, wang lebih kurang Dolar Amerika 500 dan tanpa pasport.
Nasseri memberitahu pihak berkuasa mengenai dokumen dirinya yang telah dicuri di stesen kereta api Paris. Dengan budi bicara yang ada, pihak berkuasa membenarkan Nasseri terbang ke London. Namun setibanya di sana, pegawai imigresen British enggan membenarkannya memasuki negara itu. Akhirnya Nasseri kembali semula ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Perancis.
Disebabkan tidak memiliki dokumen untuk membuktikan status dirinya dan tidak dapat ke mana-mana, Nasseri terkandas di lapangan terbang tersebut. Dia berada di sana selama beberapa hari, kemudian beberapa minggu dan bulan dan akhirnya menjadi beberapa tahun.
Pada tahun 1990-an, pihak berkuasa Perancis menegaskan bahawa Nasseri berada di tanah Perancis secara haram. Namun mereka tidak dapat mengusir Nasseri kerana tahu tiada negara yang akan menerimanya. Disebabkan itulah Nasseri menjadikan Terminal 2F Lapangan Terbang Charles de Gaulle sebagai rumahnya.
Seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, Nasseri melalui hari-harinya dengan menulis tentang kehidupannya dalam buku nota. Selain itu, sambil bersandar dibangku yang dikelilingi dengan troli berisi barangan peribadinya, Nasseri juga menghabiskan masanya dengan membaca buku dan surat khabar.
Pekerja-pekerja lapangan terbang memanggil Nasseri sebagai Alfred atau Tuan Alfred (nama panggilan yang berpunca daripada pegawai imigresen Belanda yang tersilap tulis namanya).
Dengan menggunakan sabun mandian yang diberikan oleh pekerja kapal terbang, Nasseri akan membersihkan dirinya di bilik air penumpang. Kemudian, dia membawa pakaiannya ke tukang cuci di lapangan terbang. Pernah juga pengembara yang tahu kisah Nasseri memberikan beg tidur kepadanya.
Ketika kisahnya tersebar di seluruh media berita Perancis, wartawan menyedari akan keghairahan Nasseri bercakap mengenai lapangan terbang.
“Lapangan terbang tidaklah begitu teruk. Ia sangat aktif dan berfungsi setiap hari. Saya melihat penumpang yang berbeza setiap minggu dari seluruh dunia,” kata Nasseri kepada The Times pada tahun 1999.
Selain media antarabangsa, Steven Spielberg turut tertarik dengan kisah Nasseri.
Terinspirasi dengan kepayahan yang dihadapi Nasseri, Steven memutuskan untuk mengarahkan filem bertajuk “The Terminal” yang dibintangi oleh Tom Hanks dan Catherine Zeta-Jones.
Selepas filem Hollywood tersebut ditayangkan, ramai wartawan berpusu-pusu menemu ramah pencetus filem “The Terminal” itu. Le Parisien melaporkan ketika itu, Nasseri pernah menerima enam wawancara sehari.
Untuk makluman, Nasseri pernah diberikan kebenaran untuk meninggalkan lapangan terbang dan pergi ke mana-mana sahaja di Eropah pada tahun 1999. Namun Nasseri memutuskan untuk terus tinggal di lapangan terbang tersebut sehingga tahun 2006.
Pada mulanya sebagai pelarian tetapi akhirnya dengan rela hati Nasseri menetap terus di lapangan terbang tersebut.
“Apabila anda menunggu sesuatu selama 11 tahun dan tiba-tiba dalam sekelip mata anda memperolehnya, ia pasti sesuatu yang sangat mengejutkan,” kata Dr.Philippe Bargain, pengarah perubatan lapangan terbang tersebut.
Nasseri pernah dibawa ke hospital untuk dirawat kerana penyakit yang dihadapinya ketika itu.
Laporan akhbar Perancis Libération mengatakan, selepas keluar dari hospital Nasseri tinggal di rumah penjagaan dengan menggunakan wang yang diterimanya daripada filem “The Terminal”.
Nasseri walau bagaimanapun kembali semula ke lapangan terbang beberapa minggu lalu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di sana.
Menurut pegawai lapangan terbang tersebut, mayat Nasseri ditemui dengan beberapa ribu euro dalam simpanannya.
Pilihan Editor: