28.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024
UtamaGlobalIndustri pengklonan haiwan kesayangan berkembang pesat di China, langgar peraturan alam dan...

Industri pengklonan haiwan kesayangan berkembang pesat di China, langgar peraturan alam dan etika

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengklonan haiwan peliharaan yang telah mati menjadi perniagaan yang berkembang pesat di China. Permintaan dalam pasaran terus berkembang pesat walaupun pada tanda harga yang tinggi, dengan teknologi yang masih belum matang serta etika yang kontroversi.

Pada Julai 2019, SinoGene, peneraju pengklonan haiwan peliharaan China telah menghasilkan kucing klon pertama China dengan harga 250,000 yuan (RM165,000). Sejak itu, pengklonan haiwan peliharaan komersial di China semakin popular walaupun ia berharga mahal di luar jangkauan dan kemampuan rakyat biasa.

Syarikat itu baru sahaja membuka cawangan baharu di Wilayah Jiangsu di timur China, dengan kilang itu menduduki kawasan seluas 27,000 meter persegi (6.67 ekar) dan jumlah keluasan bangunan 17,000 meter persegi (4.2 ekar).

Gambar AFP

Harga terawal pengklonan yang tinggi tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat China. Tetapi, kos pengklonan telah turun. Harga semasa untuk mengklonkan kucing ialah 118,000 yuan (RM78,000), kurang separuh daripada harga tiga tahun lalu, menurut seorang jurujual SinoGene.

Harga pengklonan anjing peliharaan, adalah berbeza-beza berdasarkan saiz haiwan itu, yang kini antara 168,000 dan 198,000 yuan (kira-kira RM111,000 hingga RM131,000), iaitu 50 peratus kurang berbanding 380,000 yuan (kira-kira RM251,000) pada April 2019.

Walau bagaimanapun, harga pengklonan semasa adalah bersamaan dengan purata pendapatan 2 hingga 3 tahun rakyat China biasa untuk memperolehinya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, SinoGene telah berjaya menghantar lebih daripada 300 haiwan peliharaan klon, termasuk kira-kira 100 kucing dan 200 anjing. Di samping itu, lebih daripada 1,000 pelanggan telah memelihara sel haiwan kesayangan dengan SinoGene untuk keperluan pengklonan masa hadapan.

Pasaran pengklonan haiwan peliharaan di China kini menjadi sangat kompetitif. Selain SinoGene, sebuah lagi syarikat pengklonan haiwan peliharaan ialah PanGene, yang terkenal dengan pengklonan anjing Purebred Mastiff Tibet. Beberapa rumah kucing dan pusat pemeliharaan anjing komersil juga telah memelihara barisan sel daripada kucing dan anjing serta menyediakan perkhidmatan pengklonan untuk memelihara baka terbaik.

Menurut kertas putih 2021 mengenai industri haiwan peliharaan di China, jumlah anjing dan kucing peliharaan di China melebihi 112 juta pada tahun lalu, dan di kawasan bandar di seluruh negara, pasaran penggunaan kucing dan anjing peliharaan meningkat daripada 206.5 bilion yuan (RM136.2 bilion) pada 2020 kepada 249 bilion yuan (RM165 bilion) pada 2021, peningkatan sebanyak 20.6 peratus.

Pasaran haiwan peliharaan di China telah berkembang lebih jauh semasa pandemik COVID-19, kerana haiwan peliharaan memberikan sokongan emosi yang penting kepada ramai orang semasa waktu sukar.

Platform e-dagang terbesar di China, Taobao berkata dalam laporan tahun lepas, pada bulan Februari, bilangan siaran langsung haiwan peliharaan di Taobao meningkat sebanyak 375 peratus dari tahun ke tahun, dengan kira-kira 1 juta orang menontonnya setiap hari.

Gambar oleh Jose Luis Magana/The Canadian Press/AP

Perasaan bercampur baur apabila pemilik melihat haiwan kesayangan mereka diklon

Cerita daripada syarikat pengklonan dan media mendedahkan kebanyakan orang memilih untuk mengklon haiwan peliharaan kerana mereka berharap untuk mendapatkan kembali kenangan dan persahabatan yang hilang. Walau bagaimanapun, haiwan klon, tidak kira betapa canggihnya teknologi, tidak dijamin 100 peratus sama rupa. Lebih-lebih lagi, haiwan peliharaan yang diklon tidak mempunyai sebarang ingatan masa lalu seperti haiwan kesayangan asal. Ia pada asasnya adalah haiwan yang berbeza.

Pada Julai 2019, kucing klon pertama China, yang bernama Garlic dilahirkan. Namun pemiliknya, Huang Yu, mengakui agak kecewa apabila melihat video haiwan berkenaan. Kucing klon ini dan Garlic yang asli kelihatan berbeza dalam pelbagai cara, dan tanda berbentuk ulas bawang putih hitam telah hilang dari rahang kucing itu, walaupun agensi pihak ketiga mengesahkan DNA kedua-dua kucing itu adalah sama. Kerana kita tidak boleh mengatasi kejadian Tuhan.

Lebih penting lagi, Garlic baharu itu tidak memberi respons seperti rakan lamanya seperti yang dia jangkakan ketika pertama kali bertemu.

Zhang Yueyan, pemilik anjing klon bernama Nini, jauh lebih bertolak ansur, walaupun bulu Nini kecil jauh lebih gelap berbanding Nini asal. Zhang masih berharap Nini kecil dapat menjadi seperti Nini asal, dan menemaninya dalam kehidupan untuk 19 tahun lagi.

Gambar Hiasan / Pixabay

Isu etika yang tidak dapat dielakkan

Pada masa ini, tiada undang-undang untuk mengawal pengklonan haiwan peliharaan atau penggantian haiwan peliharaan; jadi masih terdapat tekanan moral dan etika.

Dr Yang Guiyuan, seorang penyelidik yang berpangkalan di Jepun dalam bidang klinikal dan patologi veterinar selama bertahun-tahun, memberitahu The Epoch Times, tubuh badan fizikal sama ada manusia atau haiwan mempunyai aspek yang lebih tinggi dan lebih mikroskopik.

Barat memanggilnya “jiwa” dan orang Cina memanggilnya “Yuanshen” atau semangat sejak azali. Dari sudut pandangan ini, haiwan klon, tidak kira betapa serupa rupanya, adalah makhluk kehidupan yang bebas dan berbeza.

“Selain itu, cara saintifik dan teknologi mungkin akan memperkenalkan kecacatan genetik. Jika haiwan klon itu terus membiak untuk beberapa generasi, adakah ia akan menghasilkan raksasa genetik pada akhirnya? Sukar untuk dikatakan,” kata Yang.

Sehingga hari ini, masih banyak masalah dalam teknologi pengklonan yang perlu diselesaikan. Kadar kejayaan yang rendah juga meningkatkan bilangan haiwan yang diperlukan dalam proses pengklonan, dan sesetengah haiwan ini mungkin dikenakan rawatan yang tidak berperikemanusiaan.

Sebagai contoh, apabila kucing klon pertama China akhirnya dihasilkan, sekurang-kurangnya 40 telur daripada 5 kucing telah digunakan dan ditanam ke dalam 4 kucing pengganti. Mengambil telur daripada ibu kucing dan menanam embrio ke dalam kucing pengganti semuanya melibatkan prosedur pembedahan.

Pada masa ini, pemakaian pengklonan haiwan yang diterima di peringkat antarabangsa adalah terutamanya dalam bidang penyelidikan asas dan bioperubatan, atau untuk menyelamatkan spesies terancam.

Perintis dalam pengklonan haiwan telah menyimpang daripada amalan

Tidak seperti perniagaan pengklonan haiwan peliharaan yang berkembang pesat di China, Institut Roslin di United Kingdom, yang menghasilkan biri-biri klon pertama di dunia, Dolly, tidak lagi melakukan pengklonan haiwan. Di Amerika Syarikat, BioArts, sebuah syarikat di California Utara, menawarkan perkhidmatan pengklonan anjing pada tahun 2008, tetapi menutup perniagaan itu setahun kemudian.

“Kami tidak mengklon haiwan lagi. Teknik ini mempunyai kadar kejayaan yang sangat rendah. Dolly adalah hasil penyelidikan berbulan-bulan yang melibatkan pasukan berkemahiran tinggi,” jelas Institut Roslin di laman webnya.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Apakah risiko yang berkaitan dengan pengklonan? Embrio klon lebih berkemungkinan hilang semasa kehamilan berbanding embrio biasa, yang menyumbang kepada kadar kejayaan pengklonan yang rendah. Sindrom Keturunan Besar (LOS) juga boleh menjejaskan beberapa haiwan klon. Haiwan dengan LOS mempunyai kecacatan pertumbuhan dan jauh lebih besar semasa lahir daripada haiwan yang terhasil daripada mengawan semula jadi,” tambah institut itu.

Dalam temu bual eksklusif dengan media Mirror pada April 2014, Lou Hawthorne, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bioarts, mendedahkan sebab beliau berhenti daripada perniagaan pengklonan adalah kerana berasa muak dengan penderitaan yang dialami oleh beribu-ribu anjing setiap tahun.

“Saya tidak peduli jika dunia perniagaan pengklonan runtuh, tetapi saya mengambil berat tentang penderitaan,” kata Lou kepada wartawan Mirror.

Dr. Yang percaya pengklonan haiwan peliharaan secara komersil di China adalah amalan yang melanggar undang-undang alam dan etika untuk faedah kewangan. “Orang-orang ini fikir mereka boleh memanipulasi kehidupan secara santai dan tidak menghormati kehidupan,” katanya.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI