Seorang pemuda nekad berenang merentasi Selat Pulau Pinang dari jeti Tanjung City Marina, George Town, dengan alasan mahu ke Tanah Suci Mekah.
Ini merupakan kali kedua individu itu melakukan perkara yang sama. Bulan lalu, tular kisah lelaki ini yang berenang dari lokasi sama menuju ke Seberang Perai dengan niat ingin bertemu rakan.
Perbuatannya itu walau bagaimanapun tular di media sosial apabila pemuda berusia 28 tahun terbabit diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin Pulau Pinang.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, lelaki itu ditemui terapung di tengah laut oleh orang awam sekitar jam 4:55 petang.
Penang Press/Facebook
Orang awam kemudiannya menghubungi pihak polis. Anggota polis setelah itu menghubungi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Batu Uban untuk menyelamatkannya.
Tambah beliau, siasatan dan pemeriksaan mendapati pemuda itu adalah individu sama yang dilaporkan dahulu.
Penang Press/Facebook
Susulan kejadian itu, pihak polis membawanya ke hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan dan penilaian tahap kesihatan mentalnya.
Ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dan kini lelaki itu ditempatkan di wad Psikiatrik Jalan Perak, George Town untuk rawatan lanjut.