Seorang wanita menjadi tular ketika rebah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di hadapan klinik di Taman Sentosa, Klang ketika mahu mendapatkan rawatan setelah berasa tidak sihat pada 21 Julai lalu.
Wanita itu kemudian telah disahkan positif jangkitan COVID-19.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.45 pagi, hari Rabu 21 Julai di luar klinik di Taman Sentosa di Klang, Selangor.
Beliau mengeluarkan kenyataan setelah tersebar gambar dan video wanita tempatan itu yang terbaring tidak bernyawa di luar klinik menjadi tular di media sosial.
“Polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan setelah wanita berkenaan pergi ke klinik itu bersama adiknya untuk mendapatkan rawatan pada kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya.
“Sewaktu berada di hadapan klinik, wanita berkenaan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar pada 22 Julai.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian, dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut, di mana mangsa kemudian didapati positif COVID-19 ketika keputusan ujian saringan awal Rapid Test Kit.
“Hasil keputusan mendapati wanita itu positif COVID-19 dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut COVID-19,” kata Shamsul Amar.
Klang merupakan daerah paling terjejas teruk di Selangor yang mencatatkan kes positif tertinggi COVID-19 dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah melebihi kapasiti untuk merawat pesakit COVID-19.