PUTRAJAYA: Proses vaksinasi oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) dekat Serdang dilaporkan terhenti beberapa jam selepas dua orang individu yang disahkan positif COVID-19 dikesan telah hadir ke situ.
Hal tersebut telah membuatkan proses vaksinasi telah ditangguhkan untuk sementara waktu.
Kedua-dua penghidap tersebut, seorang wanita dan anak perempuannya dikatakan telah menjalani ujian PCR sehari sebelumnya dan mendapati mereka positif COVID-19.
Anak perempuannya walau bagaimanapun tidak memberitahu ibunya tentang keputusan ujian tersebut dan memutuskan untuk datang bagi mengambil vaksin. Alasannya ialah terdapat ramai pegawai perubatan di PPV yang boleh dibawa berunding.
Dalam kegelisahannya, seorang sukarelawan yang juga doktor gigi, mempersoalkan mengapa klinik yang menjalankan ujian tidak melaporkan tentang keputusan ujian tersebut dan aplikasi MySejahtera pula tidak membatalkan temu janji vaksin mereka.
Apa yang lebih menyedihkan mereka datang dengan menggunakan khidmat Grab. Mereka juga melalui lobi yang menempatkan ribuan orang yang sedang mendaftar untuk mendapatkan vaksin mereka.
Akibatnya, operasi di MIECC terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam untuk tujuan sanitasi.