GOMBAK – Tindakan seorang warga emas berusia 80 tahun yang membenarkan seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) menumpang kenderaannya telah disalah ertikan apabila dia didakwa cuba menculik gadis tersebut, semalam.
Sebelum ini terdapat sebuah video berdurasi 26 saat yang tular di laman sosial menunjukkan seorang wanita yang mengaku dirinya ibu kepada remaja OKU tersebut dilihat cuba menghalang kereta yang dipandu warga emas berkenaan termasuk dengan menyerangnya kerana didakwa cuba menculik dan melarikan anaknya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, berdasarkan siasatan, pengadu (ibu mangsa) yang berumur 54 tahun bersama anaknya (mangsa) yang berusia 16 tahun telah pergi ke sebuah warung di hadapan sebuah bank di Bandar Country Homes untuk membeli sarapan sekitar jam 9 pagi.
“Sebaik selesai membeli sarapan, pengadu menyedari anaknya telah tiada dan peniaga yang berada di kawasan berhampiran memaklumkan anaknya itu telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna kelabu.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang kenalan pengadu telah memuat naik video kejadian yang berlaku ke beberapa kumpulan aplikasi WhatsApp sehingga kenderaan yang membawa anaknya berjaya ditemui orang awam di Saujana Rawang sekitar pukul 12.30 tengah hari, pada hari yang sama.
“Bagaimanapun, pengadu mendapati anaknya dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Jelasnya, siasatan juga mendapati ketika mangsa bersama pengadu di gerai tempat untuk membeli sarapan, mangsa telah berjalan seorang diri tanpa pengetahuan pengadu dan telah menahan kenderaan yang dipandu warga emas itu.
“Warga emas yang menaiki kenderaan tanpa penumpang lain itu berhenti dan membenarkan mangsa menaiki kenderaannya dengan beranggapan remaja tersebut meminta pertolongan.
“Bagaimanapun, warga emas berkenaan tidak pasti arah tuju hendak membawa mangsa kerana mangsa tidak berkata apa-apa sehinggalah ditahan oleh beberapa buah kenderaan dan orang awam di sekitar Saujana Rawang dan menuduhnya cuba membawa lari mangsa,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, daripada siasatan yang dijalankan, pihak polis mengesahkan bahawa tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah sepertimana yang tular.
“Dalam kes ini, pengadu telah membuat penarikan laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang,” katanya lagi.