Jika ditanya pasti semua orang akan mengatakan mereka mahukan berat badan yang ideal, tubuh yang kurus dan langsing.
Namun, tidak semua orang mampu berusaha untuk mencapai impian mereka. Terkadang, hendak bersenam pun malas…
Kisah kejayaan pemuda ini walau bagaimanapun pasti boleh membakar semangat ramai antara kita yang sedang cuba untuk menurunkan berat badan.
Percaya atau tidak, pemuda dari Thailand ini berjaya menghilangkan 81kg dalam masa setahun dan perjalanannya pasti akan memberi inspirasi ramai.
Pemuda bernama Nes Chedtragull ini mula tular di Facebook apabila dia membuat satu perkongsian di Facebooknya menceritakan tentang kejayaannya yang berjaya menguruskan badan.
Bersama perkongsian tersebut dia turut memuat naik beberapa keping gambar yang jelas sekali menunjukkan perbezaan dirinya yang dahulu dengan sekarang.
Jika dahulu dia memiliki berat badan sekitar 156kg dan kini dia berjaya mencapai berat 75kg sahaja!
Menurut Nes, dia berjaya mengurangkan berat badan setelah menukar jenis makanan yang diambil. Dia juga akan berjalan selama satu hingga dua jam sehari dan kadangkala dia akan berbasikal.
Nes mula mengambil makanan yang lebih sihat. Sekitar Ogos 2019 dia mula berhenti makan makanan yang digemari termasuk makanan bergoreng, teh susu, snek yang bergula serta pencuci mulut yang manis.
Sebagai gantinya, dia akan makan makanan yang lebih sihat contohnya seperti 300g dada ayam cincang dengan daun selasih dan 150g nasi kukus. Selain itu, dia juga terus mengamalkan senaman untuk mengekalkan fizikal yang baik.
Dalam status Facebooknya, Nes turut memberi dorongan kepada orang ramai untuk memilih kaedah penurunan berat badan yang sesuai dengan mereka, sama ada berenang, berbasikal, berjalan, berlari, atau pergi ke gim.