Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun disahkan meninggal dunia, dua minggu setelah menjalani pembedahan di Hospital Mayo, Lahore, Pakistan.
Difahamkan bahawa wanita terbabit telah dibawa ke hospital awam bagi mendapatkan rawatan terhadap luka di bahagian belakang badannya.
Pada ketika itulah, Muhammad Waheed Butt menyamar sebagai doktor dan melakukan pembedahan ke atasnya.
Agak malang apabila Muhammad Waheed sebenarnya merupakan bekas pengawal keselamatan yang telah diberhentikan dua tahun lalu.
Keluarga wanita itu juga turut membayar sejumlah wang berikutan pembedahan yang dibuat, serta dua lawatan ke rumah untuk mencuci luka.
Keadaan wanita terbabit kemudiannya semakin buruk dan dia dibawa keluarganya ke hospital. Di sana, mereka mendapat tahu bahawa individu yang melakukan pembedahan itu bukanlah doktor!
Sebaliknya, si pelaku adalah bekas pengawal keselamatan yang telah diberhentikan atas sebab memeras wang pesakit.
Dan ini bukanlah pertama kali pengawal terbabit menyamar sebagai doktor dan beberapa kali juga telah mengunjungi rumah pesakit.
“Kami tidak dapat kawal setiap doktor dan kakitangan pada setiap masa. Ini hospital besar”, kata seorang pegawai pentadbir hospital itu.
Pegawai itu turut memberitahu bahawa pihak hospital masih tidak jelas akan jenis pembedahan yang dijalankan oleh bekas pengawal keselamatan terbabit.
Menurut sumber, bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian wanita itu dan sama ada ia berkait dengan pembedahan yang gagal.