Agak besar tanggungjawab dipikul oleh penghantar makanan. Mereka sanggup meredah panas dan hujan untuk menghantar makanan kepada kita.
Malah mereka juga harus memastikan agar pesanan yang sampai ke pelanggan berada dalam keadaan yang baik. Ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Baru-baru ini, seorang wanita dikenali sebagai Linda Latip ada berkongsi kisah di ‘story’ Instagram miliknya mengenai seorang penghantar makanan.
“Semalam ada Grab rider bawa kopi, sekali tumpah. Dia punya minta maaf nak hulur duit. Saya cakap tak payah 15 kali sambil suruh dia balik”, tulis wanita itu.
Linda kemudian turut memberi penilaian 5 bintang dan sedikit tip buatnya di platform Grab. Namun pada keesokan harinya, muncul kejutan berupa kek, buah dan nota.
“Assalamualaikum kak, saya rider Grab semalam, Meor. Saya rasa bersalah sangat hantar order akak sampai tumpah”.
“Ini ada sedikit kuih dan buah. (Kuih hasil tangan isteri – kek lapis Sarawak). Hati akak mulia, semoga dimurahkan rezeki”, tulis Meor.
@callmefye/Twitter
Jelas Linda yang merupakan penggemar tegar kopi, terdapat kelewatan penghantaran minuman itu pada hari tersebut.
Akuinya, dia pada mulanya berasa agak berang atas kelewatan itu namun Meor meminta maaf membuatkan hatinya sedikit lembut.
“Dia sampai sahaja terus cepat-cepat minta maaf. Katanya kopi tumpah dalam perjalanan. Saya tengok di luar pun cuaca hujan renyai”.
Tengok keadaan Meor yang cemas, Linda berkata, “Tidak mengapalah”, lalu mengambil cawan yang kosong itu untuk dibuang.
Tambah Linda, permohonan maaf dan sikap jujur Meor membuatkan dia tidak mengambil serius akan perkara itu.
Bukan sekadar mahu membayar kembali kerugian wanita itu, malah Meor sanggup pergi ke kafe untuk membelikan kopi yang baru. Ia kemudian ditolak Linda.
Penilaian lima bintang diberikan Linda kerana dia sentiasa percaya kepada peluang kedua selain sikap Meor yang jujur.
“Saya juga percaya jika kita buat baik dengan orang, insyaAllah orang lain akan buat baik dengan kita”, ujarnya.