Kerajaan Selangor mengumumkan akan mengagihkan kit penilaian COVID-19 secara percuma buat pesakit yang menjalani pengasingan diri di rumah.
Dalam satu kenyataan pada 9 Jun lalu, Menteri Besar, Amirudin Shari berkata bahawa inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pakej Kita Selangor 2.0.
Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM551.56 juta untuk usaha itu, yang bakal memanfaatkan lebih kurang 1.6 juta penduduk.
Kit yang dimaksudkan itu merangkumi pelitup muka KN95, termometer, oksimeter nadi, ubat-ubatan dan kit ujian berasaskan air liur.
Oksimeter nadi akan mengukur tahap ketepuan oksigen dalam darah dan mengesan jika tahap oksigen rendah sebelum pesakit rasa sesak nafas secara fizikal.
Dalam pada itu, kit ujian berasaskan air liur menggunakan sampel air liur pada tekak dalam untuk menguji COVID-19.

Kata Amirudin, kit penilaian itu akan membantu pesakit bagi menilai tahap kesihatan di rumah masing-masing dengan bantuan pegawai kesihatan daerah melalui aplikasi SELangkah.
Usaha itu menurutnya akan membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Penilaian COVID-19 dan klinik kesihatan daerah sambil menerapkan elemen sokongan terhadap kerangka ‘find-trace-test-isolate-support’ yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kerajaan negeri juga akan meneruskan program saringan besar-besaran COVID-19 fasa ketiga secara percuma, dengan menyasarkan kepada lebih 100,000 orang.
Selain itu, kerajaan negeri turut akan melancarkan Program Vaksinasi COVID-19 Selangor (SCVP) dengan peruntukan RM200 juta untuk mendapatkan vaksin agar imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.