27.2 C
Kuala Lumpur
Friday, June 18, 2021
Utama Berita Utama Kebanyakan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 daripada golongan dewasa, kata Persatuan Perubatan Malaysia

Kebanyakan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 daripada golongan dewasa, kata Persatuan Perubatan Malaysia

PETALING JAYA: Peningkatan jumlah kes COVID-19 dalam  kalangan kanak-kanak di negara ini adalah disebabkan oleh jangkitan daripada kakitangan sekolah atau keluarga atau saudara-mara yang lebih tua di rumah, kata Persatuan Perubatan Malaysia.

Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy berkata bahawa laporan kementerian kesihatan mencatatkan 82,341 kes COVID-19 yang melibatkan bayi dan kanak-kanak di Malaysia dan 30,000 daripadanya direkodkan hanya dalam masa seminggu.

Dari jumlah itu, 19,851 adalah kanak-kanak di bawah usia empat tahun. Subramaniam menyatakan bahawa kebanyakan mereka dalam kategori ini jarang meninggalkan kediaman mereka. Jadi, kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 adalah berpunca daripada ahli keluarga.

Mengulas mengenai 8,237 kes yang melibatkan kanak-kanak berusia lima atau enam tahun, dia mengatakan bahawa kemungkinan kumpulan yang lebih muda ini mempunyai sistem imun dan tindak balas yang lebih baik untuk menghilangkan virus.

Menurutnya lagi, mereka yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun mungkin dingakiti virus ini di sekolah terutama darapada guru atau staf sekolah.

“Walaupun sekolah menerapkan SOP yang ketat di dalam kelas, terdapat kerumunan di pekarangan sekolah sebelum dan sesudah sesi persekolahan, terutama di pintu masuk ketika ibu bapa menurunkan atau menjemput mereka.”

Sehingga 31 Mei, seramai 26,851 orang kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 dan 27,402 remaja berusia 13 hingga 17 tahun disahkan  positif dengan virus ini.

Subramaniam juga mengatakan tidak ada hubungan yang jelas antara peningkatan jangkitan pada anak-anak dan varian baru COVID-19, walaupun beberapa negara mendapati bahawa varian baru boleh memberi kesan yang lebih teruk kepada mereka yang lebih muda.

Menurutnya lagi, negara-negara lain seperti India, Brazil dan Indonesia juga mencatatkan angka jangkitan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak terutama semasa gelombang kedua.

“Kematian kanak-kanak dari COVID-19 di negara-negara ini juga meningkat. Kesesakan dan kekurangan zat makanan juga menyebabkan mereka menghadapi risiko kematian dan morbiditi yang lebih tinggi.”

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mendedahkan bahawa negara ini telah mencatatkan tiga kematian yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dalam lima bulan pertama tahun 2021.

Noor Hisham juga mengatakan seramai 27 kanak-kanak telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) tahun ini, 19 daripadanya berusia di bawah lima tahun. Ini adalah peningkatan yang ketara berbanding dengan lapan kanak-kanak di ICU pada tahun lalu.

Walaupun bilangan kanak-kanak di ICU semakin tinggi, Subramaniam mengatakan majoriti mereka tidak memerlukan pengudaraan mekanikal.

Mereka dimasukkan ke ICU untuk pemerhatian terperinci. Mujur, angka kematian di kalangan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun adalah masih sangat rendah.

Menurut Subramaniam lagi, penyelesaian terbaik untuk melindungi kanak-kanak adalah dengan memberi vaksin kepada  sebahagian populasi dewasa di Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok.

Langkah selanjutnya adalah dengan memvaksinasi kumpulan remaja dan kemudian anak-anak yang lebih muda, setelah kajian klinikal dapat memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin jika diberikan kepada golongan ini.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

TREN TERKINI