Pihak polis difahamkan telah mengejar seorang pemandu teksi selama lebih kurang 20 minit sebelum berjaya menahannya.
Pemandu teksi terbabit sebelum itu tidak memberikan kerjasama dan bertindak memecut teksinya ketika melalui Jalan 18/16 di Petaling Jaya pada 2 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata kereta dipandu lelaki tempatan itu ditahan semasa penugasan ‘snap check’ kereta peronda polis (MPV).
Ujarnya, suspek telah bertindak memecut laju teksinya dan hampir melanggar orang awam dan pengguna jalan raya yang lain semasa pemeriksaan hendak dilakukan.
“Polis bertindak pantas dengan mengejar suspek selama 20 minit sebelum berjaya menahannya di hadapan sebuah bank di Pekan Lama, Petaling Jaya”.
Suspek walau bagaimanapun tidak memberikan kerjasama dan mengunci pintu kereta sehingga memaksa polis memecahkan cermin tingkap kereta terbabit.
Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan satu tiub straw disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 0.30 gram.
“Suspek juga didapati positif dadah dan memiliki dua rekod jenayah dengan lapan kes melibatkan dadah”, tambahnya.
Suspek berusia 34 tahun itu kini direman tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, dua anggota polis yang terlibat turut mengalami cedera ringan pada tangan dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).