SUBANG JAYA- Pada hari Jumaat, 28 Mei lalu, penduduk SS15 terpaksa menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk membantu menyelamatkan seekor anjing betina dan dua ekor anaknya yang terkunci di dalam sebuah kereta selama berjam-jam lamanya.
Menurut laporan SJ Echo, ketiga-tiga anjing tersebut ditinggalkan di dalam kereta yang terkunci sejak jam 10 pagi sehingga polis dan anggota bomba daerah Subang Jaya tiba di tempat kejadian sekitar jam 4 petang.
Penduduk tempatan terpaksa menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang akan keselamatan anjing di dalam kereta yang terkunci walaupun kedua-dua belah tingkap yang diturunkan sedikit.
Cuaca ketika itu sangat terik, sekitar 33° C dan tiada makanan ataupun minuman buat anjing-anjing itu di dalam kereta.
Apabila sampai sahaja ke tempat kejadian, pihak berkuasa dengan segera berusaha untuk membuka pintu kereta untuk menyelamatkan anjing-anjing yang terperangkap itu.
Sejurus pintu kereta terbuka, pihak bomba terus meletakkan makan dan minuman buat anjing. Anjing betina itu dilihat terus menghabiskan makanan dan minuman yang diberikan.
Sementara itu, polis di tempat kejadian berusaha mencari pemilik kenderaan berdasarkan nombor pendaftaran kereta. Mereka akhirnya berjaya menemui nombor untuk dihubungi dari sepucuk surat di dalam kereta.
Namun begitu, pemilik anjing tersebut yang sedang bekerja di pejabat berdekatan langsung tidak mengucapkan terima kasih. Wanita itu malah meninggikan suara kepada pihak berkuasa yang telah membantu anjing peliharaannya. Dia juga mendajwa bahawa anjingnya dalam keadaan sakit dan seharusnya tidak boleh diberikan makan.
Pegawai polis kemudian mencatat maklumat dan menasihatinya agar tidak meninggalkan anjingnya di dalam kereta dalam keadaan apa pun dalam jangka masa yang lama.