Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini berkongsi satu kisah pasangan suami isteri yang hidup gelandangan di sekitar Taman Bidara, Bukit Mertajam.
Menurutnya, pasangan tersebut hidup sebegitu rupa sebaik sahaja berhijrah ke sana dari Kelantan beberapa hari yang lalu.
@scheekeong/Twitter
Oleh kerana tiada peluang pekerjaan di kampung asal, mereka mahu mencari kerja di Pulau Pinang dan malangnya bertembung pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Oleh kerana berasa sedih dengan nasib mereka, Steven memutuskan untuk membawa mereka ke hotel dahulu.
Pasangan itu kemudian ditempatkan di sebuah rumah sewa yang dibayar Steven hingga Shah mampu untuk membayarnya kelak.
“Hari ini saya tunai janji bawa Shah dan Siti mulakan hidup baru”.
Mereka dibawa membeli pakaian baru dan barangan secukupnya memandangkan tempoh pelaksanaan ‘total lockdown’ ini adalah dua minggu.
“Saya sudah dapatkan beberapa tawaran kerja untuk Shah. Tapi dua minggu ini, rehat dulu. Bertenang dan rancang masa depan”, tulis Steven di Twitter.
Steven turut menzahirkan rasa sedih apabila membaca komen netizen yang menuduh pasangan itu malas. “Tiap hari mereka keluar pagi hingga lewat malam cari kotak di kawasan sampah untuk dijual”.
“Ada kala dapatlah RM10 hingga RM20 sehari. Siti pula ada tabung simpan duit untuk sewa rumah kelak”.
Tambah beliau, ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Fahmi turut datang ke rumah mereka untuk menghulurkan bantuan dan kaunseling agama.
“Semoga Shah dan Siti akan cekal bina kehidupan baru”, akhiri Steven.
Sama-samalah kita mendoakan agar pasangan ini kekal tabah dan dapat mengubah kehidupan mereka sebaik sahaja PKP penuh ini berakhir.