Sejumlah penumpang cedera setelah dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung berhampiran stesen Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Kampung Baru pada malam 24 Mei.
Kata Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, perkhidmatan LRT itu melibatkan tren bernombor 40 dan 81 pada jam kira-kira 9 malam tadi.
“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan”.
“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan”, katanya ketika dihubungi.
@AskRapidKL/Twitter
Dalam pada itu, tweet AskRapidKL di Twitter memaklumkan bahawa semua penumpang yang cedera sudah dibawa keluar daripada tren dan usaha bantuan dan penyelamatan sedang dijalankan.
Selain itu, pengangkutan alternatif juga akan disediakan. Kejadian itu turut mendapat perhatian oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa juga telah mengesahkan kejadian itu. Menurutnya, tren yang membawa penumpang bertembung dengan tren yang kosong.
@AnnuarMusa/Twitter
Menurut pihak polis, terdapat 213 orang yang berada di dalam tren dan 166 daripadanya mengalami kecederaan.
47 orang dilaporkan cedera parah dan kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta hospital lain yang berdekatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam perkembangan terbaharu, Prasarana berkata perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa menggunakan satu landasan (single track) bermula jam 6 pagi tadi.
@bernamadotcom/Twitter
Namun para penumpang perlu menunggu lebih lama berbanding biasa dengan kekerapan tren adalah setiap 10 minit pada waktu-waktu puncak.
Prasarana juga akan memberi bantuan khas berjumlah RM1,000 untuk kesemua 213 mangsa yang terlibat dalam nahas pertembungan itu.
Kata Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bantuan itu akan diberikan kepada semua individu tanpa mengira tahap kecederaan.
Bantuan khas juga akan diberikan kepada mereka yang dimasukkan ke hospital termasuk kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya hingga mereka pulih.