Bukan mudah untuk berjauhan dengan tersayang terutama ketika menyambut perayaan. Kalau dahulu masa perayaan adalah masa yang paling ditunggu-tunggu kerana semua orang boleh berkumpul beramai-ramai.
Namun, wabak COVID-19 yang melanda dunia kini membuatkan semua itu tidak dapat dilakukan lagi.
Hari raya kali ini pastinya berbeza. Ramai yang tidak diberi peluang untuk bercuti terutama mereka yang berada di barisan hadapan ekoran tuntutan tugas masing-masing.
Memahami keadaan suami yang terpaksa bertugas pada hari raya, seorang isteri telah membawa anak-anak mereka untuk menziarahi suami yang sedang bertugas di sekatan jalan raya.
Dengan berbaju raya sedondon berwarna ungu, wanita tersebut telah membawa anak-anak kecil mereka ke tempat ayah mereka bertugas. Sesi ziarah tersebut mungkin hanya ringkas dan sekejap tetapi pastinya sangat bermakna buat mereka.
Foto yang dimuat naik ke laman Facebook ‘Penang Kini’ ini mula menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai. Mungkin ada yang mempersoalkan tindakan wanita tersebut tetapi rasanya semua orang juga faham bahawa hari raya tahun ini adalah berbeza dan semua orang melakukan yang terbaik untuk mewujudkan suasana raya yang ceria dan gembira.