Pertandingan ratu cantik “Miss Universe” pastinya menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu ramai terutama para wanita seluruh dunia.
Dalam pertandingan tersebut kita akan tahu siapakah yang akan bergelar ratu cantik paling cantik di dunia.
Edisi ke-69 pertandingan tersebut sudah mulai dilangsungkan bertempat di Florida, Amerika Syarikat dan pada Jumaat lalu, 14 Mei 2021, berlangsungnya pusingan pakaian nasional yang diperagakan oleh setiap wakil negara.
Pusingan tersebut sememangnya sangat dinanti-nantikan. Ketika itulah kita boleh melihat pelbagai idea kreatif yang dizahirkan dalam bentuk fesyen dan apa yang penting temanya yang mewakili negara.
Wakil negara kita, Francisca Luhong James, kelihatan anggun bersama sebuah ‘kampung’ bersamanya di atas pentas. Dengar sahaja sudah boleh membuatkan ramai yang kagum bukan? Jom lihat gaya luar biasa wakil ratu cantik Malaysia di pentas dunia!
Dipanggil ‘Kampungku’, gaun tersebut diilhamkan daripada rumah-rumah kampung Melayu tradisional yang menghiasi pemandangan di kampung-kampung dan kawasan luar bandar di seluruh Semenanjung Malaysia.
Francisca, yang merupakan penduduk asli Dayak dan berketurunan Kayan-Kenyah-Iban, ingin membangkitkan rasa nostalgia melalui gaun yang diperagakanya. Ia juga mengingatkannya tentang permulaan kehidupannya yang sederhana.
Dengan memiliki berat seberat 45kg, gaun unik tersebut menampilkan rumah yang dibina dalam bentuk 3D dan dilengkapi dengan ayam replika, pohon kelapa, dan topi kepala.
Kostum dan penutup kepala tersebut dikatakan telah mengambill masa tiga bulan untuk disiapkan.
Ratu cantik Malaysia berusia 25 tahun itu turut berkongsi gambar di laman Instagramnya yang menunjukkan penampilannya ketika berada di pentas dunia itu.