Lantaran dikesan mengguna semula alat uji swab antigen COVID-19, seorang pengurus perniagaan daripada PT Kimia Farma yang berpusat di Medan, Indonesian telah ditangkap bersama 4 pegawainya.
Menurut sumber, tindakan tersebut dilaporkan berlaku terhadap penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan sejak Disember tahun lalu.
Dianggarkan bahawa jumlah mangsa yang diuji dengan alatan swab yang digunakan semula itu adalah lebih 9,000 orang, sekaligus mempengarhi usaha mengekang virus tersebut.
Semasa sidang media pada 29 April lalu, Ketua Polis Sumatera Utara, RZ Panca Putra Simanjuntak memberitahu bahawa setiap suspek mempunyai peranan yang berbeza, dengan pengurus perniagaan menjadi dalang keseluruhan penipuan itu.
Suspek didakwa membersihkan kapas swabs dan membungkusnya untuk digunakan semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu. Sedangkan swab tersebut seharusnya dibuang setelah digunakan.
Tindakan ini dilakukan atas dasar ingin mengaut keuntungan lebih, berbanding dengan membeli alatan ujian swab baru.
Dipercayai bahawa jumlah ‘keuntungan’ mereka sejak Disember tahun lalu adalah sekitar 1.8 bilion Rupiah (RM510,000).
Susulan tindakan itu, pihak PT Kimia Farma bertindak segera dengan menghentikan kelima-lima suspek.
Dalam pada itu, perkhidmatan ujian pantas antigen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu juga telah ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Kelima-lima suspek pula bakal dikenakan hukuman penjara hingga 15 tahun serta denda sehingga 3 bilion Rupiah (RM850,000).