Pengalaman ditikam bukanlah satu situasi yang disenangi apatah lagi jika pisau yang digunakan itu masih lagi berada dalam tubuh. Ngerinya!
Ya, ianya sangat mencemaskan namun itulah yang dialami oleh seorang pemuda berusia 25 tahun dari Filipina ini.
Sumber mengatakan bahawa lelaki tersebut, Kent Ryan Tomao hanya mengetahui terdapat pisau di dadanya selepas mengadakan imbasan x-ray.
Imbasan x-ray itu pula diperlukan untuk membolehkannya memohon pekerjaan di sebuah syarikat yang berpangkalan di Agusan del Sur.
Kent turut diberitahu doktor bahawa terdapat objek menyerupai pisau hanya beberapa inci daripada paru-parunya.
Sebenarnya pada 4 Januari 2020, Kent pernah dirawat kerana ditikam oleh beberapa remaja ketika dalam perjalanan pulang daripada tempat kerja. Malah Kent hampir mati.
Dia juga tidak mengetahui sama ada hospital kerajaan yang merawatnya pada ketika itu ada melakukan imbasan x-ray padanya ataupun tidak.
Kent juga tidak perasan apa-apa yang pelik pada tubuhnya selepas itu namun dia berasa sakit dada terutamanya apabila cuaca sejuk.
“Saya selalu pelik kenapa saya sakit dada ketika cuaca sejuk. Saya langsung tak tahu ada pisau di dada saya”.
Namun Kent tidak berniat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor yang merawatnya dahulu. Sebaliknya dia hanya mahu pisau itu dikeluarkan sahaja.
“Saya minta tolong untuk keluarkan pisau itu saja”, ujarnya lagi. Kasihan Kent, semoga dia dapat kerja yang dimohonnya itu.