Sedar atau tidak, kebakaran hutan sebenarnya banyak mengakibatkan kemusnahan habitat haiwan-haiwan yang tinggal di dalamnya.
Dan sebuah kisah yang dialami oleh Dan Alpiner, seorang juruterbang helikopter ini sememangnya dapat memberi kesedaran kepada manusia.
Di pertengahan bulan Disember 2020, ketika Alpiner sedang menjalankan misi memadam kebakaran hutan dengan menggunakan helikopter, Alpiner secara tidak sengaja telah ‘bertentang mata’ dengan seekor burung hantu yang terbang memasuki helikopternya.

Menceritakan tentang pengalamannya bertemu burung hantu itu kepada The Dodo, pada waktu itu, Alpiner sedang terbang mengawal helikopter kira-kira 200 kaki dari darat dan sedang bersedia untuk mencurahkan bekalan air ke atas api yang sedang marak membakar hutan.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba, Alpiner tersedar akan sesuatu yang muncul di sisinya.
“Saya melihat sesuatu dari sudut mata saya,” kata Alpiner. “Saya menoleh, agak takut, dan kami bertentang mata.
“Burung hantu itu tenang.
“Saya benar-benar terkejut. Burung hantu itu sangat jinak – sepertinya burung itu hanya mahu bertegur-sapa,” tambah Alpiner.

Walaupun terkejut dan tidak menyangka akan kedatangan tetamu itu yang terus datang dan berdiri di kerusi bersebelahannya, Alpiner nekad untuk meneruskan misinya.
“Jadi, marilah kita selesaikan tugasan di sini, rakanku,” kata Alpiner kepada rakan baharunya itu.
Menurut Alpiner, burung hantu itu tidak terus bersamanya sehingga ke akhir misi. Sebaliknya, selepas dua kali isian semula air dan dua curahan air ke darat, burung itu telah terbang keluar dari tingkap helikopter berkenaan.
Sehingga saat Alpiner berkongsi kisahnya, dia masih lagi berasa seperti tidak percaya dengan pengalaman uniknya itu.
“Saya masih lagi cuba untuk menghadamnya. Rasanya seperti tidak nyata.
“Pengalaman itu adalah perkara yang berlaku sekali seumur hidup.”