Siapa sangka kos tinggal di hotel untuk tempoh enam bulan jauh lebih murah daripada kos menetap di rumah sewa?
Rasa macam tidak masuk akal bukan? Baru-baru ini, seorang pelajar di Johor Bahru tular setelah berkongsi pengalamannya tinggal di hotel sepanjang tempoh latihan industri.

Gadis tersebut berkongsi kisahnya menerusi akaun TikTok miliknya dengan kapsyen, “Ye 6 bulan sewa hotel”.

Difahamkan bahawa Nurfateha Balqis menetap selama enam bulan di Tune Hotel, Danga Bay dan menariknya, dia turut berkongsi bahawa langkahnya itu jauh lebih menjimatkan.
“Saya tidak mempunyai pengangkutan sendiri untuk ke pejabat. Saya ada tahu beberapa bilik untuk disewakan sekitar Johor Bahru namun setelah mengira kos, saya rasa ia lebih mahal”.

Malah Nurfateha juga perlu menggunakan khidmat Grab untuk ke pejabat.
“Semasa saya melalui pejabat, saya ternampak hotel. Saya segera bertanya jika mereka terima tempoh penginapan yang lama”. Lebih kurang 4 buah hotel ditanya gadis itu dan bapanya.
“Kos kebanyakan hotel mencecah ribuan Ringgit. Kemudian, saya bertanya hotel ini dan nampaknya kos penginapan di sana agak murah”.

Turut dikongsi gadis itu, kelebihan menginap di hotel adalah dia tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar bil utiliti.
Malah, lokasi hotel yang berdekatan dengan pejabatnya juga membolehkan dia berjalan kaki sahaja setiap hari. Jimat kos pengangkutan.

Pasti ramai yang tertanya-tanya berapa agaknya kos untuk sehari menginap di hotel tersebut bukan? Jawapannya adalah hanya RM17.72 sehari!
Ini bermakna dia hanya perlu membayar RM550 sahaja untuk sebulan untuk bilik yang selesa dengan televisyen, pemanas air, WiFi dan juga khidmat mengemas.

Murah bukan untuk bilik sebegini?