PUTRAJAYA- Februari lalu sebuah lagi sejarah tercatat apabila Malaysia menerima kumplan pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. Kehadiran vaksin dilihat memberi harapan baru buat rakyat dalam usaha memerangi virus tersebut.
Namun begitu, ada pihak yang mula mengambil kesempatan dengan cubaan untuk menipu dengan melakukan iklan yang menunjukkan vaksin tersebut ada dijual melalui atas talian.
Perkara tersebut telah menjadi tular di media sosial apabila vaksin tersebut ada diiklankan dan dijual di platform Shopee dengan harga RM63.88.
Ekoran kejadian tersebut, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa iklan tersebut adalah palsu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai iklan tersebut dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi mendapati ia adalah palsu.
Menurut Dr Noor Hisham lagi, vaksin COVID-19 telah diberikan pendaftaran bersyarat jadi, hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan. Justeru vaksin ini tidak dijual di negara ini.

Dalam pada itu, pihak Shopee tampil dan menafikan penjualan vaksin Pfizer, seperti yang tular di media sosial.
Shopee dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa gambar tersebut sebenarnya telah disunting seolah-olah penjualan vaksin berkenaan dijual di platform tersebut tetapi sebenarnya ia adalah palsu serta tidak wujud.