Perasaan hampa menyelubungi seorang wanita apabila hanya mendapat sekotak air minuman yogurt setelah menghabiskan kira-kira 10,099 yuan bagi mendapatkan iPhone 12 Pro Max 256gb!
Wanita dari wilayah Anhui, Timur China itu difahamkan membeli telefon pintar tersebut daripada laman web rasmi Apple namun sebaliknya hanya kotak air yang tiba.
Menurut sumber, wanita bernama Liu tersebut turut memuat naik satu video mengenai nasib buruknya itu pada laman sosial popular di China, Weibo yang jelas menunjukkan bungkusan itu dari Apple Store.
Liu difahamkan membeli iPhone tersebut pada 16 Februari lalu dan menerima bungkusan mengandungi kotak air minuman pada 2 hari berikutnya.
Walau bagaimanapun, Liu mengatakan bahawa kejadian itu bukanlah salah pihak Apple, sebaliknya berkemungkinan ditukar semasa proses penghantaran bungkusan.
“Syarikat penghantaran berkata pihaknya telah meletakkan ia pada loker bungkusan di komuniti kediaman saya”, kata Liu.
Dia kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis dan mereka telah memulakan siasatan. Kemudian pada 25 Februari, polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai kecurian.
Malah, pihak Apple dan syarikat penghantaran yang digunakan, Express Mail Service (EMS) turut menjalankan siasatan mengenai insiden tersebut.
Dalam satu kemaskini, pihak polis telah berjaya menangkap seorang lelaki berusia 31 tahun yang didapati bertanggungjawab melakukan kesalahan itu.
Lelaki itu, Long difahamkan bertugas untuk membawa kargo antara Anhui dan Shanghai pada 6 hingga 18 Februari.
Long yang bekerja sementara mengaku telah membuka bungkusan yang dikirimkan atas nama Liu dan bertindak mencuri telefon pintar tersebut dan menggantikannya dengan kotak minuman.