Dua atlet Turkiye iaitu Yusuf Dikec dan Sevval Ilayda Tarhan mencatat sejarah buat negara mereka selepas memenangi pingat perak dalam acara menembak 100 meter kategori campuran pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Pasangan penembak Turkiye itu bersemuka dengan atlet dari Serbia Damir Mikec dan Zorana Arunovic dalam perlawanan akhir.
Beraksi dalam persaingan yang sengit, Dikec dan Tarhan akhirnya terpaksa akur dengan meraih pingat perak selepas menamatkan perlawanan dengan mata 16-14.
Dalam acara menembak itu, atlet Yusuf Dikec yang berusia 51 tahun menjadi tular dan memukau perhatian penonton dengan kekaguman apabila tampil beraksi dengan begitu selamba tanpa memakai peralatan yang lazimnya dipakai oleh atlet menembak.
Kebiasaannya, mereka akan memakai beberapa peralatan khas seperti kanta mengelak penglihatan kabur, kanta ketepatan lebih baik dan pelindung telinga bagi mengurangkan bunyi tembakan dan sorakan penyokong.
Akan tetapi, Yusuf Dikec tidak memakai ketiga-tiga peralatan ini melainkan hanya memakai kaca mata biasa, sambil selamba meletak tangan di poket seluar ketika beraksi, namun masih berjaya memenangi pingat perak untuk pasukan negaranya.
Pingat perak ini adalah pencapaian besar dan membanggakan kerana ia adalah pingat Olimpik pertama Turkiye dalam acara menembak. Menteri Belia dan Sukan Turkiye, Osman Askin Bak turut hadir memberikan sokongan untuk kedua atlet ini.
Selain menembak, Turkiye mempunyai sejarah cemerlang dalam acara gusti, angkat berat, taekwondo, tinju, karate, olahraga, judo, memanah dan gimnastik.