Sering kali kes melibatkan kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kenderaan berakhir dengan kematian.
Walaupun insiden itu tidak disengajakan namun faktor kecuaian seharusnya dititikberatkan oleh semua golongan dewasa.
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan autisme yang berusia 8 tahun ditemui meninggal dunia selepas ditinggalkan beberapa jam di dalam sebuah van sekolah.
Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan pada 12 Oktober lalu. Menurut pihak polis, laporan diterima pada jam 7:46 malam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van berusia 34 tahun”, kata Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said.
Walau bagaimanapun, lelaki tersebut bertindak terus pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van berkenaan.
“Pemandu van dipercayai tidak menyedari mangsa berada di dalam van sejak jam 2:30 petang sehinggalah 5:30 petang di hadapan rumahnya sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri”.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dan disahkan telah meninggal dunia. Susulan itu, polis kemudian membuat tangkapan ke atas pemandu tersebut.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Perintah tahanan reman ke atas suspek juga dimohon bagi mengenal pasti kejadian yang berlaku.