Lokasi tarikan pelancong di barat laut China, Dunhuang yang terletak berdekatan Gunung Gobi, wilayah Gansu seperti ‘ditelan’ ribut pasir pada 25 Julai lalu.
Difahamkan bahawa ribut pasir berkenaan berketinggian sehingga 100 meter, hampir menyamai pemandangan adegan filem berlatarbelakangkan kejadian bencana alam.
Sehubungan dengan kejadian itu, Dunhuang ‘hilang’ dan tidak kelihatan buat seketika berikutan ditutup debu pasir ketika ribut melanda.
Menurut seorang penduduk dikenali sebagai Zhang, ribut pasir berkenaan secara tiba-tiba muncul dan menutupi bandar tersebut lebih kurang 5 hingga 6 minit.
“Saya tidak dapat lihat matahari. Mulanya, ia ‘diselimuti’ debu kuning ribut pasir lalu berubah menjadi merah dan akhirnya hitam”.
Tambah Zhang, bandar Dunhuang sebelum ini tidak pernah mengalami sebarang kejadian ribut pasir sejak beberapa tahun yang lepas.
Menurut laporan, ribut pasir sering kali terjadi di rantau itu pada setiap kali musim bunga namun jarang sekali berlaku ketika musim panas.
Dunhuang dikenali sebagai destinasi pelancongan, di mana Gua Mogao – gua berukiran Buddha kuno sering menjadi tumpuan.
Laluan utama di seluruh bandar yang dikenali sebagai Jalan Sutera (Silk Road) itu walau bagaimanapun telah ditutup oleh pihak berkuasa.
Pihak polis meminta pengguna jalan raya untuk mengelakkan sebarang perjalanan berikutan jarak penglihatan merosot – kurang daripada 20 kaki.