KUALA LUMPUR: Kehilangan Cikgu Istiqomah pada 27 Disember lalu terjawab apabila hasil DNA mengesahkan mayat tidak sempurna yang ditemui adalah miliknya.
Mayat tersebut ditemukan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Disember lepas.
Berikut kronologi kes kehilangan dan pembunuhan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 tersebut:
26 Disember 2023
– Cikgu Istiqomah dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja.
27 Disember 2023
– Pihak keluarga membuat laporan polis berkaitan kehilangan Istiqomah dan Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan laporan kehilangan wanita itu yang diterima pada pukul 12.36 tengah malam.
– Kereta dipandu Istiqomah ditemukan di parkir sebuah pasar raya dekat Kota Masai, Johor Bahru berhampiran rumahnya.
31 Disember 2023
– Mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan ditemukan dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang dekat Alor Gajah, Melaka sekitar pukul 2 petang.
– Mayat ditemukan di tepi jalan raya dan terletak kira-kira 100 meter dari sebuah rumah kosong. Identiti mangsa tidak dikenal pasti.
6 Januari 2024
– Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu memaklumkan kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki si mati telah dipotong. Anggota badan yang hilang tidak ditemukan di kawasan tersebut.
2 Ogos 2024
– Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ibu kepada Istiqomah diambil oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
5 Ogos 2024
– Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah, polis telah menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Perak.
6 Ogos 2024
– Mahkamah Majistret Alor Gajah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap pasangan berkenaan.
– Siasatan terhadap suspek membawa penemuan sebahagian anggota badan mangsa iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.
12 Ogos 2024
– Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, pada 31 Disember tahun lepas adalah milik Istiqomah.
– Mahkamah Majistret Alor Gajah membenarkan permohonan sambung reman terhadap suspek lelaki selama tujuh hari lagi.
Terkini, polis sedang menunggu keputusan ujian DNA kepala serta jari Istiqomah dan dijangka diketahui selewat-lewatnya minggu depan sebelum jenazah dibenarkan untuk dituntut oleh ahli keluarga mangsa.
Menurut Ashari, tindakan itu diambil memandangkan dua bahagian tersebut antara anggota tubuh yang baharu ditemukan selepas penahanan suspek utama kes berkenaan.
“Buat masa ini tungguh keputusan DNA jari dan kepala serta arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sebelum jenazah dibawa keluar dan dituntut daripada hospital.”
“Kita (jangka) minggu hadapan dan kalau dapat dilakukan lebih awal saya akan maklumkan kemudian,” Katanya.
Ashari turut memberitahu polis kini sedang mengesan beberapa bahagian anggota badan mangsa yang dipercayai dibuang di kawasan berbeza oleh suspek.
“Insya-Allah jika semuanya sudah selesai, satu siaran media akan dibuat sendiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dan saya harap rakan media dapat bersabar,” Katanya.