PULAU PINANG: Pencatur termuda negara Poh Yu Tian menerima gelaran International Master (IM) dalam Kejohanan Catur Remaja Asia Timur (EAYCC) Ke-8.

Poh,15, dari Pulau Pinang diberi gelaran International Master selepas memperoleh rating 2,429 menerusi kejohanan tersebut.
Secara keseluruhan, Poh mempamerkan persembahan cemerlang dan membolehkannya merangkul tempat pertama bagi kategori bawah 18 tahun terbuka, juara acara rapid serta penyertaan dalam acara Blitz (catur kilat).
Kejayaan itu menjadikan Poh sebagai pemain termuda dan ke-10 di Malaysia yang mendapat gelaran IM.
Lantaran kejayaan itu, Poh menjadi penerima pertama trofi piala PMX yang disampaikan oleh anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha pada acara penutupan kejohanan di sini, malam tadi.
Bapa Poh, Poh Leng Pat ketika ditemui Bernama berterima kasih kepada penganjur kerana memilih anaknya untuk menerima piala berkenaan.
“Poh sudah melengkapkan tiga ‘norm’ dengan rating 2,429 untuk gelaran IM dan fokus selepas ini adalah mahu mendapatkan gelaran ‘Grand Master’ pula.”
“Untuk itu dia perlu melengkapkan tiga lagi ‘norm’, tapi kita percaya dia mampu melakukannya,” Kata bapa Poh.
Selain Poh, pemain catur Malaysia di bawah Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) yang turut berjaya mempamerkan kejayaan cemerlang dalam kejohanan itu adalah Ainul Mardhiah Afif (Woman FIDE Master-WFM) pemenang kategori bawah 14 tahun perempuan, Kavin Mohan Chess Master (CM) pemenang tempat kedua kategori bawah 14 tahun terbuka, Chow Yi Chen dan Yap Ray Jin Chess Master (CM) dengan masing-masing memperoleh tempat kedua dan ketiga kategori bawah 10 tahun terbuka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA) See Swee Sie berkata Pulau Pinang terpilih sebagai tuan rumah kejohanan kali ini untuk mencungkil bakat-bakat muda terutama dalam kalangan pemain Malaysia.
“Menerusi pertandingan seperti ini juga, ia dapat membantu dan memberi peluang kepada pemain Malaysia mendapatkan rating untuk menaikkan title masing-masing kerana kalau hendak pergi ke pertandingan di luar negara memakan kos yang tinggi jadi peluang mengadakan kejohanan di sini merupakan satu pendedahan yang baik dan perlu diambil kesempatan sebaik mungkin,” Katanya.
Seramai 358 orang peserta lelaki dan wanita dari 17 buah negara telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang dianjurkan oleh PCA bersama Persatuan Catur Malaysia (MCF) bermula pada 12 Julai lepas.
Malaysia telah menghantar 74 orang pemain untuk bertanding dalam enam kategori iaitu bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 14 tahun, bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun.
Menerusi kejohanan itu, Malaysia menduduki tangga kedua keseluruhan selepas memungut dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.
Johan menjadi milik pasukan dari China dengan pungutan lima pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Vietnam dengan dua pungutan pingat emas dan dua pingat perak.