PETALING JAYA: Siasatan kes Zayn Rayyan diteruskan dengan tindakan polis mengambil beberapa barangan dari Blok R Apartment Idaman untuk dianalisa.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan melakukan analisa terlebih dahulu terhadap bukti-bukti yang diperoleh.
Setakat ini tiada perkembangan positif dalam usaha menjejaki pembunuh kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berusia 6 tahun.
“Kita perlu analisa terlebih dahulu semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hussein lagi, penduduk boleh melakukan rutin harian mereka seperti biasa.
Tambahnya, tiada arahan khusus dikeluarkan oleh pihak polis untuk mengawal pergerakan penduduk apartmen tersebut.
“Jika kita lakukan pemeriksaan, mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan, kita akan tunggu dan panggil mereka untuk mass DNA screening (ujian DNA beramai-ramai),” kata Hussein.
Terdahulu, dua buah kotak dilihat dibawa keluar selepas pemeriksaan pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama kira-kira dua jam di setiap rumah di Blok R apartment tersebut.
Kotak berkenaan dipercayai mengandungi bahan bukti yang dapat membantu siasatan kes Zayn Rayyan yang ditemui mati di saliran air di kawasan apartmen berkenaan pada 6 Disember lalu.
Lebih 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula 8.40 malam tadi dan berakhir kira-kira 10.30 malam.
Pemeriksaan didapati tertumpu di tingkat dua dan tiga blok berkenaan.