Terkadang hadiah yang paling berharga ialah datangnya daripada orang yang kita sayangi. Tidak kisah lah berapa pun harganya kerana apa yang lebih penting ialah nilainya.
Baru-baru ini seorang pengguna Facebook, Jennifer Ling berkongsi cerita tentang hadiah yang diberikan kepadanya. Apa yang lebih penting hadiah tersebut bukan sahaja mahal malah sangat istimewa kerana ia dihadiahkan oleh abangnya sendiri.
Menurut Jennifer dia sangat teringin untuk memiliki bar emas dan suatu hari dia mendapat tahu abangnya mahu ke kedai emas ekoran harga emas yang turun ketika itu. Jadi, dia meminta abangnya untuk melihat kalau-kalau ada bar emas di kedai itu.
Abangnya kemudian bertanya tentang harga emas yang dimaksudkan. Jennifer ketika itu tidak berfikir bahawa abangnya mahu menghadiahkan emas itu kepadanya kerana menurutnya abangnya mahu membeli emas tersebut untuk dirinya sendiri.
Jennifer kemudian terus mencari harga emas tersebut melalui sebuah aplikasi dan terus menghantar maklumat yang diperolehi di WhatsApp keluarga mereka.
Selepas dua hari dia akhirnya menerima kejutan itu daripada abangnya. Ketika itu dia baru sahaja selesai mandi selepas pulang dari melakukan kerja sambilan. Menurut Jennifer, abangnya telah meninggalkan hadiah tersebut di atas katilnya sebagai sebuah kejutan.
“Ini adalah sesuatu yang sangat mengejutkan kerana ini adalah kali ketiga saya menerima hadiah daripada abang saya sejak saya dilahirkan.” tulis Jennifer di akaun Facebooknya. Dia juga memberitahu bahawa abangnya telah menghabiskan kira-kira RM300 untuk membeli bar emas tersebut.