Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dari Bandar Quezon, Filipina dilaporkan maut terkena renjatan elektrik selepas mangsa mencucuk sebatang sudu besi dalam salah satu lubang pada soket penyambung.
Mangsa, Jack Angara pada waktu itu dikatakan sedang bermain dengan sudu besi yang digunakan oleh ibunya untuk membuat susu formula buat anaknya.
Walau bagaimanapun, setelah ibunya selesai menggunakan sudu besi tersebut dan meletakkannya di tempat yang selamat, mangsa dikatakan tetap berjaya mencapai dan mengambil sudu besi itu sebelum mencucuknya dalam lubang pada soket penyambung elektrik.
Menceritakan tentang saat insiden itu berlaku, ibu Jack, Eloisa Angara, berkata bahawa dia secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan dia menyangka bahawa letupan itu datang dari bunyi dentuman barang yang jatuh.
Selepas beberapa ketika, bapa Jack datang memeriksa lokasi bunyi letupan itu dan menemui anak lelakinya yang berada di situ sebelum membawa mangsa ke hospital.
Walau bagaimanapun, apabila tiba di hospital untuk mendapatkan rawatan, pihak hospital mendapati bahawa mangsa telah pun meninggal dunia akibat renjatan elektrik.
Sehubungan kes yang menyayat hati ini, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan mengawasi setiap tingkah-laku anak-anak kecil untuk menghalang kejadian seperti ini daripada berlaku.