Pada 19 Julai, sebahagian pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan siri acara ulang tahun ke-27 anti-penganiayaan “7·20” di Kuala Lumpur. Melalui latihan senaman berkumpulan, perhimpunan aman, vigil nyalaan lilin dan sebagainya, mereka menyeru agar penganiayaan yang berterusan selama 27 tahun oleh PKC (Parti Komunis China) dihentikan, serta memperingati pengamal Falun Gong yang telah kehilangan nyawa dalam penganiayaan tersebut.
Semasa acara berlangsung, ramai orang awam yang lalu-lalang meluahkan rasa terkejut setelah mengetahui kebenaran mengenai penganiayaan PKC terhadap Falun Gong serta kekejaman pengambilan organ secara paksa. Mereka berpendapat bahawa masyarakat antarabangsa harus bersama-sama memberi perhatian kepada pencabulan hak asasi manusia yang berterusan sehingga hari ini.
Acara Peringatan 720 Diadakan di Taman Kuala Lumpur, Latihan Senaman yang Damai Menarik Perhatian Orang Ramai

Pada 19 Julai 2026, pengamal Falun Gong Malaysia melakukan latihan senaman berkumpulan di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Pada petang 19 Julai, pengamal Falun Gong Malaysia mengadakan acara peringatan ulang tahun ke-27 anti-penganiayaan “7·20” di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur. Acara tersebut merangkumi latihan senaman berkumpulan, ucapan perhimpunan, peringatan nyalaan lilin, pengumpulan tandatangan dan nyanyian lagu. Ia bertujuan memperingati pengamal Falun Gong di China yang dianiaya sehingga mati kerana mempertahankan kepercayaan mereka, di samping menyeru semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama melindungi kebebasan berkepercayaan dan hak asasi manusia yang asas.
Acara bermula pada jam 4:55 petang, di mana pengamal Falun Gong mula mempamerkan lima set latihan senaman. Muzik senaman yang damai dan menenangkan menarik perhatian ramai orang untuk berhenti menonton serta mengambil gambar. Ada juga yang berhenti untuk membaca papan pameran, bertanya kepada pengamal mengenai Falun Gong, serta ingin tahu tentang fakta sebenar penganiayaan PKC terhadap Falun Gong.

Pengamal Falun Gong menunjukkan perhiasan bunga teratai kecil kepada orang awam.
Orang Awam: Penganiayaan Ini Sangat Mengejutkan, Harus Diketahui oleh Seluruh Dunia
Bibbo, seorang rakyat berketurunan India yang kebetulan lalu di situ berkata, beliau menguruskan sebuah pusat meditasi dan biasanya mengajar kelas meditasi serta penyembuhan tenaga. Apabila melihat ramai orang duduk bermeditasi pada hari itu, beliau berasa tidak asing dengan pemandangan tersebut, justeru beliau berhenti dengan harapan untuk mengetahui lebih lanjut tentang acara tersebut.

Bibbo menyatakan harapan agar lebih ramai orang mengetahui kebenaran mengenai penganiayaan terhadap Falun Gong, dan bersama-sama menghentikan penganiayaan ini.
Bibbo berkata, ini adalah kali pertama beliau mengenali Falun Gong dan juga kali pertama mengetahui bahawa pengamal Falun Gong telah sekian lama menderita akibat penganiayaan PKC. Apabila mengetahui pengamal Falun Gong dianiaya kerana mempertahankan kepercayaan mereka, malah organ mereka diambil secara paksa, beliau berasa sangat sedih dan menganggap perkara ini amat sukar untuk diterima.
Beliau berkata: “Perkara seperti ini patut diketahui oleh lebih ramai orang, supaya orang di seluruh dunia tahu dan mari bersama-sama membantu menghentikan penganiayaan ini.”
Selepas itu, Bibbo juga telah meminta bahan maklumat mengenai laman web Falun Dafa daripada pengamal, dengan harapan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai amalan tersebut pada masa hadapan.

Orang awam menandatangani borang petisyen bagi membantah penganiayaan PKC terhadap Falun Gong.
Khairul, seorang warga Melayu, meluahkan rasa sangat terkejut selepas mengetahui situasi pengamal Falun Gong yang dianiaya dan kekejaman pengambilan organ secara paksa oleh PKC.
Khairul berpendapat bahawa ini adalah isu hak asasi manusia yang melibatkan seluruh umat manusia. Beliau menyatakan, perkara ini harus diketahui oleh lebih ramai orang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penduduk di seluruh dunia harus memandang serius perkara ini, dan bersama-sama menghentikan penganiayaan tersebut.
Peringatan Nyalaan Lilin Menyampaikan Hati Nurani dan Harapan
Menjelang senja, acara memasuki sesi peringatan nyalaan lilin. Beberapa pengamal Falun Gong telah memberi ucapan masing-masing dalam bahasa Mandarin, Inggeris, dan Melayu.
Dalam ucapan tersebut, dinyatakan bahawa sejak PKC melancarkan penganiayaan terhadap Falun Gong pada 20 Julai 1999, ramai pengamal Falun Gong telah ditahan secara haram, dijatuhkan hukuman penjara dan diseksa semata-mata kerana berpegang kepada kepercayaan “Sejati, Baik, Sabar”, malah ada yang mati akibat pengambilan organ secara paksa. Penganiayaan yang berterusan hingga ke hari ini telah memusnahkan banyak keluarga, dan terus menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Pengamal Falun Gong Malaysia menyanyikan lagu “Datang Untukmu” pada acara peringatan anti-penganiayaan 720.
Pengacara majlis menyatakan bahawa penganjuran acara peringatan nyalaan lilin ini adalah untuk mengenang pengamal Falun Gong yang kehilangan nyawa dalam penganiayaan tersebut. Melalui sinar nyalaan lilin, ia diharapkan dapat menyampaikan mesej hati nurani dan harapan, serta menyeru lebih ramai individu yang cintakan keadilan untuk bersama-sama memberi perhatian kepada situasi hak asasi manusia di China, berganding bahu bagi menghentikan penganiayaan yang telah berlarutan selama 27 tahun ini.
Selepas itu, semua pengamal Falun Gong memegang lilin, berkabung dalam keheningan mengiringi melodi lagu “Nyalaan Lilin”. Cahaya lilin menyinari wajah setiap peserta yang damai namun tegas, diiringi suasana majlis yang sangat khusyuk dan penuh penghormatan.

Pada 19 Julai 2026, sebahagian pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan perhimpunan dan vigil nyalaan lilin “Ulang Tahun Ke-27 Anti-Penganiayaan 7.20” di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Mangsa Terselamat 7·20 Menceritakan Pengalaman Dianiaya, Berharap Lebih Ramai Mengetahui Kebenaran
Encik Li, seorang pengamal warga China yang kini menetap di Malaysia, menyatakan bahawa beliau berasa sangat bersyukur dapat menyertai acara anti-penganiayaan “7·20” dalam persekitaran yang aman dan bebas pada hari ini. Beliau berkata, di China, pengamal Falun Gong dianiaya oleh PKC hanya kerana gigih mengamalkan Falun Dafa, “Kami cuma mahu menjadi orang yang baik, tetapi di China tidak wujud persekitaran sedemikian.”
Encik Li memberitahu bahawa beliau pernah dijatuhkan hukuman secara haram oleh PKC. Semasa di penjara, polis mengarahkan enam atau tujuh orang banduan hukuman berat untuk menderanya; bukan sahaja kuku jarinya dan dua kuku ibu jari kakinya dicabut, malah dia tidak dibenarkan tidur selama dua belas hari berturut-turut, dicurahkan air lada ke dalam hidungnya, dan dipukul tanpa henti. Katanya, pengalaman sebegini membuatkan beliau tidak akan pernah melupakan kekejaman rejim jahat PKC.
Seorang lagi pengamal dari China, Xiao Jiang mengenang kembali bahawa beliau mula mengamalkan Falun Dafa pada tahun 1997. Pada tahun 2001, beliau telah pergi ke Beijing sebanyak dua kali untuk membuat rayuan rasmi. Namun selepas itu, beliau terpaksa menghadapi penganiayaan selama empat belas tahun di China, termasuk dua tahun berada di kem buruh paksa, menjadikannya saksi peribadi kepada penganiayaan kejam PKC terhadap pengamal Falun Gong.
Xiao Jiang menyatakan bahawa PKC menggunakan kaedah yang sangat ganas terhadap pengamal Falun Gong, “tiada sebarang garis panduan moral langsung,” malah sesetengah kaedah penyeksaan mereka terlalu jijik dan mengerikan untuk diluahkan.
Beliau menyatakan harapan agar lebih ramai orang mengetahui kebenaran tentang penganiayaan terhadap Falun Gong, sudi berdiri di pihak yang benar, bersuara untuk Falun Gong bagi menghentikan penganiayaan ini secepat mungkin, dan juga berharap nilai kebaikan Falun Dafa dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang di dunia.
Pengamal Luar Negara: . Mendedahkan Kebenaran Penganiayaan Kepada Dunia
Seorang pengamal Falun Gong dari rantau Amerika Tengah dan Caribbean, yang datang ke Malaysia atas tujuan akademik, turut secara khusus mengambil bahagian dalam acara tersebut. Beliau menyatakan bahawa ini adalah kali pertama beliau berkenalan dengan pengamal Falun Gong dari negara lain, dan peluang sebegini membuatnya berasa sangat bersyukur. Beliau berpendapat, usaha menyedarkan orang ramai mengenai penganiayaan PKC terhadap Falun Gong melalui acara seperti ini adalah satu perkara yang amat bermakna.
Beliau mula mengamalkan Falun Gong sekitar tiga hingga empat tahun lalu. Walaupun tidak menghadapi sebarang penganiayaan di negaranya sendiri, beliau berpendapat bahawa tindakan memperingati “7·20” mempunyai nilai yang penting.
Dia berkata: “Saya rasa sangat penting untuk kita memperingati hari ini, kerana seluruh dunia perlu tahu tentang wujudnya penganiayaan yang kejam sebegini. Ini bukan sekadar mengenai penganiayaan terhadap pengamal Falun Gong, tetapi juga merupakan satu ujian besar terhadap nilai kemanusiaan.”
Pada masa yang sama, beliau berharap lebih ramai orang awam mengambil inisiatif untuk mengetahui kebenaran, kerana di China, masih ramai pengamal Falun Gong yang dianiaya dan dipenjarakan tanpa belas kasihan kerana berpegang teguh kepada kepercayaan mereka. “Walaupun ada yang tidak mahu percaya, namun hakikatnya, perkara ini benar-benar sedang berlaku,” tegasnya.
Beliau juga menyeru mereka yang masih belum mengetahui kebenaran agar sudi untuk membukakan minda memahami fakta ini. “Ini bukan lagi isu mengenai politik, ini adalah satu bentuk penganiayaan yang cuba disembunyikan, dan setiap orang patut mula berjaga-jaga,” tambahnya.
Helen, seorang pengamal Falun Gong di Malaysia, membantu mengumpulkan tandatangan orang ramai di sepanjang majlis tersebut bagi menyeru agar PKC menghentikan penganiayaan terhadap Falun Gong. Beliau berkata, ramai orang menyatakan sokongan terbuka, dan ada juga yang secara sukarela mahu menandatangani petisyen berkenaan setelah mengetahui tentang kebenaran Falun Gong.

Pengamal Falun Gong Malaysia, Helen, berkata bahawa ramai orang bersedia menandatangani sokongan untuk menghentikan penganiayaan selepas mereka memahami kebenaran tentang Falun Gong.
Helen berkongsi bahawa ada seorang lelaki tua berbangsa Cina yang pada asalnya hanya sekadar berjalan melepasi mereka, namun kemudian dengan sengaja berpatah balik untuk melihat papan pameran, lalu memohon bahan maklumat daripadanya kerana ingin mengenali Falun Gong dengan lebih lanjut.
Dia juga menyebut bahawa penduduk berbangsa Melayu yang ditemui pada hari itu semuanya melayani mereka dengan sangat mesra. Ramai di antara mereka yang terus menyatakan sokongan padu setelah mengetahui fakta sebenar, dan hal ini memberikan dorongan dan semangat baharu kepadanya.
Perhimpunan Aman di Hadapan Kedutaan China Menyeru Penganiayaan Selama 27 Tahun Dihentikan
Selain acara peringatan di taman, sebahagian pengamal Falun Gong di Malaysia juga telah pergi ke hadapan Kedutaan China di Kuala Lumpur pada pagi 19 Julai untuk mengadakan satu perhimpunan aman. Mereka tampil bagi mendedahkan penganiayaan PKC terhadap pengamal Falun Gong selama 27 tahun yang berlalu, menyeru semua pihak di serata dunia agar bersama-sama bertindak menghentikan jenayah PKC yang mengambil organ pengamal Falun Gong secara paksa, di samping menyokong lebih daripada 464 juta rakyat China yang telah berani keluar daripada keahlian Parti Komunis China dan organisasi-organisasi yang bergabung dengannya.

Pada 19 Julai 2026, pengamal Falun Gong Malaysia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan China di Malaysia.
Dalam perhimpunan itu, wakil pengamal Falun Gong telah membacakan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris. Kenyataan itu menegaskan bahawa PKC telah mula menggunakan pengaruh politik dan ekonomi mereka yang besar untuk cuba memperluaskan penganiayaan terhadap Falun Gong sehingga ke kawasan luar negara tersebut, lalu menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama membendung serta menghentikan penganiayaan tersebut, dan mempertahankan kebebasan berkepercayaan dan hak asasi manusia yang sejagat.

Pada 19 Julai 2026, wakil pengamal Falun Gong membacakan kenyataan rasmi di hadapan Kedutaan China di Malaysia bagi menyeru masyarakat antarabangsa agar bersama-sama menghentikan penganiayaan.
Selama dua puluh tujuh tahun, pengamal Falun Gong tidak putus-putus mengadakan acara aman anti-penganiayaan di hadapan Kedutaan China di Malaysia biarpun terpaksa berhadapan dengan apa jua keadaan cuaca. Pengamal-pengamal bertegas mahu terus menjelaskan tentang kebenaran menggunakan saluran yang damai dan rasional. Usaha ini adalah selari dengan nilai “Sejati, Baik, Sabar” oleh pengamal Falun Gong bagi membangkitkan keadilan dan suara hati nurani masyarakat, dengan impian murni agar lebih ramai lagi kelompok orang awam akan memahami situasi sebenar tentang Falun Gong, bersama-sama menghentikan penganiayaan yang menindas, supaya sejarah hitam yang berlarutan sekian lama ini boleh diakhiri dalam waktu terdekat.
Di akhir acara tersebut, wakil daripada kumpulan pengamal Falun Gong telah menyerahkan satu surat bantahan rasmi kepada pihak Kedutaan China di Malaysia, yang menyatakan secara jelas mengenai tuntutan mereka agar sebarang penganiayaan hendaklah dihentikan.



