HULU SELANGOR: Nurul Aishah Farhana Azni,17, dilaporkan hilang di daerah ini sejak malam tadi. Susulan itu, polis mohon orang ramai bantu mencarinya.

Bapa Nurul Aishah membuat laporan kehilangan anak perempuannya itu di Balai Polis Batang Kali tengah hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.
Terdahulu Nurul Aishah pernah menghilangkan diri pada Januari lalu namun pulang semula ke rumah dalam tempoh 24 jam.
“Lokasi terakhir remaja ini dilihat adalah di sebuah kedai makan di Bandar Utama di Batang Kali pada jam 9.30 malam tadi.”
“Ketika itu remaja berkenaan memakai tudung berwarna hitam, kemeja T lengan panjang berwarna biru gelap, seluar hitam dan sandal coklat cerah,” Katanya.
Menurut Mohd Asri, remaja yang hilang itu berkulit cerah, tidak memakai cermin mata, berketinggian antara 150 hingga 155 sentimeter dengan berat badan sekitar 50 hingga 55 kilogram.
“Polis menyeru orang ramai mempunyai maklumat kedudukan remaja perempuan ini supaya terus menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Saiful Abdul Rahman di talian 03-60641222 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Selangor (03-60641223),” Katanya.