27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, July 4, 2025
UtamaGlobalPenggubal undang-undang terdiri 15 negara seru China tamatkan penganiayaan terhadap Falun Gong

Penggubal undang-undang terdiri 15 negara seru China tamatkan penganiayaan terhadap Falun Gong

20 Julai menandakan ulang tahun ke-25 permulaan penganiayaan rejim China terhadap kumpulan keagamaan.

Lebih 130 ahli parlimen dari 15 negara menyeru rejim komunis China untuk menamatkan penganiayaan terhadap Falun Gong, menurut sebuah organisasi bukan berasas keuntungan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan bersama, ahli parlimen yang berkenaan berkata mereka “mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia selama 25 tahun terhadap pengamal Falun Gong di China.” Mereka menggesa rejim China untuk “segera menghentikan” penganiayaan berusia 25 tahun ini dan “membebaskan tanpa syarat semua pengamal Falun Gong yang ditahan termasuk tahanan agama dan kerohanian lain.”

Pengamal Falun Gong ketika perarakan menyeru tamatkan penganiayaan berterusan selama 25 tahun PKC terhadap pengamal Falun Gong di China, di National Mall, Washington pada 11 Julai 2024. (Gambar oleh Larry Dye/ The Epoch Times)

Kenyataan itu anjuran Friends of Falun Gong, yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada tahun 2000. Alan Adler, pengarah eksekutif badan bukan keuntungan, berkata dalam satu kenyataan bahawa kumpulan itu “menaja kempen ini bagi membantu menguatkan suara mereka yang ingin melihat penganiayaan yang tidak adil ini ditamatkan.”

“Dengan tandatangan ini, kami ingin menunjukkan bahawa walaupun Parti Komunis China mungkin cuba melakukan jenayahnya di dalam gelap, kebenaran telah pun terbongkar,” kata Adler. “Ahli yang terutama dalam masyarakat antarabangsa bergabung dan mengutuk jenayah terhadap kemanusiaan ini, serta kami bersama-sama akan memulihkan kebebasan dan mendapatkan keadilan buat sekumpulan penganut kerohanian yang dicederakan secara salah.”

Falun Gong, juga dikenali sebagai Falun Dafa, adalah amalan kerohanian yang terdiri daripada ajaran moral berdasarkan prinsip Sejati, Baik, Sabar dan latihan senaman meditasi yang lembut. Ia diperkenalkan kepada khalayak umum di China pada tahun 1992 dan menjadi sangat popular, dengan dianggarkan terdapat 70 juta hingga 100 juta orang pengikut yang telah menerima amalan itu menjelang akhir dekad, menurut anggaran rasmi pada masa itu.

Parti Komunis China (PKC) melihat populariti Falun Gong sebagai ancaman kepada pemerintahan autoritariannya dan melancarkan kempen untuk menghapuskan amalan itu pada 20 Julai 1999. Sejak itu, berjuta-juta orang telah ditahan di dalam penjara, kem buruh, dan kemudahan lain, dengan ratusan ribu diseksa semasa dipenjarakan dan jumlah yang tidak terhitung telah terbunuh, menurut Pusat Maklumat Falun Dafa.

Ramai pengamal Falun Gong telah terkorban akibat amalan pengambilan organ secara paksa yang diluluskan oleh kerajaan negara China. Pada tahun 2019, Tribunal China, sebuah tribunal rakyat bebas di London, menyimpulkan bahawa rejim telah secara paksa menuai organ daripada tahanan kerohanian selama bertahun-tahun “pada skala yang signifikan,” dengan pengamal Falun Gong menjadi sumber utama organ.

Kenyataan bersama itu memetik resolusi yang diluluskan oleh Parlimen Eropah pada Januari. Resolusi berkenaan menggesa penyiasatan antarabangsa terhadap kempen penindasan PKC terhadap kumpulan kepercayaan itu.

Rayuan antarabangsa

Bagi menandakan ulang tahun ke-25 penganiayaan PKC terhadap amalan tersebut, pengamal Falun Gong telah mengadakan perhimpunan dan perarakan di bandar-bandar di seluruh dunia pada bulan Julai ini, termasuk di Toronto dan Vancouver, Kanada; Taipei, Taiwan; Sydney dan Melbourne, Australia; Osaka, Jepun; Seoul, Korea Selatan; London, United Kingdom; serta San Francisco; Los Angeles; New York; dan Washington, Amerika Syarikat.

Ketika perhimpunan di Sydney pada 18 Julai, Senator Persekutuan New South Wales David Shoebridge berkata sudah tiba masanya untuk memikirkan sama ada kerajaan Australia telah melakukan dengan cukup dalam mengukuhkan undang-undangnya “demi memastikan tiada sesiapa yang datang dari China atau mana-mana rejim lain dan terlibat dalam pengambilan organ yang tidak beretika.”

Ahli Parlimen Parti Libertarian Australia, David Limbrick menggelar ulang tahun ke-25 sebagai “hari inspirasi” dalam satu kenyataan.

“Parti Libertarian percaya banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kerajaan di mana-mana di dunia untuk mengiktiraf sejarah penindasan ini dan menjaga kebebasan serta kepercayaan [pengamal Falun Gong],” katanya.

Anggota Dewan Tertinggi Jepun Hiroshi Yamada menggelar penganiayaan PKC sebagai “biadab dan tidak berperikemanusiaan” dalam satu kenyataan. Beliau berkata Tokyo perlu “mengemukakan bantahan keras” terhadap Beijing di atas penganiayaan itu.

Ahli Majlis Bandaraya Taipei Taiwan Hung Chien-yi menyeru PKC segera menamatkan amalan pengambilan organ secara paksa semasa perhimpunan di Taipei pada 20 Jun, dengan menyatakan “hak asasi manusia adalah nilai sejagat.”

Ahli Parlimen Konservatif Kanada Michael Cooper berkongsi gambar dirinya menyertai perhimpunan Falun Gong di Edmonton di platform X.

Ahli Parlimen Konservatif Kanada Michael Cooper menyertai perhimpunan ulang tahun ke-25 penganiayaan Falun Gong di Edmonton, Kanada pada 21 Julai 2024. (Gambar @MichaelCooperMP/X)

“Di sebalik kekejaman PKC, [pengamal] Falun Gong telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa. Kanada mesti bergabung dengan sekutu untuk mempertanggungjawabkan PKC di atas jenayah genosidnya,” tulisnya.

Ahli House of Lords UK, Baroness Cox berkata dalam satu kenyataan: “Tiada kerajaan sepatutnya membunuh mana-mana rakyat mereka semata-mata kerana kepercayaan mereka. Ini tidak boleh diterima dalam dunia hari ini.”

Engin Eroglu, seorang ahli Parlimen Eropah, berkata menerusi X bahawa ulang tahun ke-25 seharusnya menjadi peringatan kepada “semua warga di China yang telah dinafikan hak kebebasan beragama.”

Di Amerika Syarikat, penggubal undang-undang dwipartisan daripada Jawatankuasa Pilihan Dewan mengenai PKC menyuarakan sokongan kepada pengamal Falun Gong.

“Saya akan sentiasa mempertahankan kebebasan beragama dan hak asasi manusia menentang rejim yang menindas seperti PKC,” kata Rep. Michelle Steel (R-Calif.) dalam hantaran di X.

“Sebagai rakyat Amerika, komitmen kami terhadap kebebasan beragama dan hak asasi manusia di Republik Rakyat China (PRC) dan di seluruh dunia tidak berbelah bahagi,” Rep. Raja Krishnamoorthi (D-Ill.), ahli ranking jawatankuasa itu, dan Rep. Haley Stevens (D-Mich.) berkata dalam satu kenyataan bersama.

“Kita mesti terus mengecam dengan tegas perlakuan PKC terhadap pengamal Falun Gong sambil berdiri bersama komuniti mereka dan semua yang lain dalam menghadapi penganiayaan ke atas agama di Republik Rakyat China,” kata mereka.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI