27.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 3, 2025
UtamaBerita UtamaMPOX: KKM kukuh pemantauan di pintu masuk negara

MPOX: KKM kukuh pemantauan di pintu masuk negara

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan aktiviti pemantauan dan advokasi selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran peringkat tertinggi berkaitan penularan virus cacar monyet atau Mpox.

KKM berkata pihak berkuasa Malaysia sedang meningkatkan pemantauan di pintu masuk antarabangsa dan semua pengembara dari negara yang melaporkan kes mpox dikehendaki memantau status kesihatan secara kendiri, termasuk simptom selama 21 hari selepas tiba di Malaysia.

Gambar NST

Individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko atau yang mempunyai simptom seperti ruam dan lepuh dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat dengan segera dan tidak bersentuhan dengan orang lain bagi mengelak penularan virus.

Pengamal perubatan serta petugas penjagaan kesihatan di kemudahan awam dan swasta juga dikehendaki memaklumkan kes yang disyaki dan mengesahkannya kepada pejabat kesihatan daerah terdekat bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.

KKM juga memberi jaminan kepada orang awam bahawa terdapat makmal yang mencukupi untuk tujuan ujian dan diagnostik.

Terdapat 10 makmal, termasuk dua makmal persendirian, dengan keupayaan untuk menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan sebarang diagnosis.

Gambar Reuters

KKM juga meningkatkan aktiviti kesedaran dengan mengedarkan bahan kepada kumpulan dan lokasi berisiko tinggi, seperti spa dan sauna.

Premis yang menawarkan perkhidmatan melibatkan sentuhan kulit ke kulit dengan pelanggan seperti yang dinyatakan wajib memastikan kebersihan terjaga dan pekerja serta pelanggan mereka tidak mengalami gejala seperti lepuh atau ruam.

“Jika pekerja atau pelanggan mengalami simptom, mereka harus segera mendapatkan rawatan perubatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada 18 Ogos.

KKM akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan lain termasuk hospital awam dan swasta untuk memantau, mengesan dan merawat kes mpox.

Kementerian itu juga akan terus memantau keadaan semasa mpox di dalam dan luar negara.

WHO mengisytiharkan mpox, yang sebelum ini dikenali monkeypox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos.

PHEIC pertama kali diisytiharkan pada 23 Julai 2022, dan berakhir pada 11 Mei 2023.

“Pengisytiharan kedua dibuat berdasarkan nasihat Jawatankuasa Kecemasan IHR (Peraturan Kesihatan Antarabangsa) memandangkan penularan strain mpox baharu yang dikenali sebagai clade 1b, telah menular dengan pantas di Republik Demokratik Congo dan negara rantau Afrika,” kenyataan itu berkata.

Peningkatan kes di Congo agak ketara dengan 15,600 kes dan 537 kematian dilaporkan pada 2024, iaitu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, empat negara di Afrika Timur, iaitu Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, melaporkan kes mpox buat pertama kali.

Malaysia telah merekodkan sembilan kes mpox setakat ini sejak kes pertama dikesan pada 26 Julai 2023, termasuk kes yang direkodkan pada November tahun itu.

KKM berkata semua kes yang dilaporkan mempunyai sejarah aktiviti berisiko tinggi dan telah pulih tanpa kematian dilaporkan.

Mengulas perkembangan terkini kepada The Star, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, pakar ekonomi kesihatan dan kesihatan awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata individu yang melakukan hubungan seksual dengan pasangan dari negara yang terdapat kes mpox, termasuk negara di mana penyakit itu endemik, perlu dipantau.

“Ia juga boleh merebak daripada wanita hamil yang dijangkiti kepada anak dalam kandungan.

“Mereka yang melancong ke negara yang dijangkiti, terutamanya Amerika Syarikat dan negara-negara Afrika, perlu mengambil kira risiko sentuhan dan jangkitan semasa aktiviti seksual,” katanya.

@KKMPutrajaya / X

Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus dan jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan.

Individu dijangkiti akan mengalami gejala demam berserta ruam ‘maculopapular rash’ atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.

Sebanyak 99,176 kes Mpox, termasuk 208 kematian, dilaporkan di seluruh dunia dari 1 Jan 2022 hingga 30 Jun 2024.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI