31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024
Utama Blog Laman 7

3 tanda mental penat dan cara mengatasinya

0

Pernahkah anda berasa lesu, tidak bermaya dan tidak mahu melakukan aktiviti kendiri? Jika ya, mungkin anda sedang mengalami mental penat.

Pexels

Menurut Dr. Azu Shahdan, tanda badan penat adalah kita akan tertidur tiba-tiba. Namun, apakah tanda-tanda yang menunjukkan mental kita pula yang penat?

Tanda pertama adalah individu hilang motivasi untuk melakukan sesuatu perkara. Contohnya rasa tidak bersemangat, tidak boleh bangun awal pagi dan rasa seperti hidup tidak bermakna.

Tanda yang kedua adalah individu mengalami kesukaran untuk fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya jika sedang makan, individu berkenaan hilang fokus.

TikTok

Tanda yang ketiga adalah berlaku perubahan emosi seperti individu tersebut mudah tersinggung atau berubah daripada seseorang yang gembira menjadi seseorang yang sedih.

Kata Dr. Azu lagi, jika semua tanda yang beliau nyatakan itu ada pada diri seseorang, itu menunjukkan mental individu berkenaan penat.

Oleh yang demikian, individu tersebut perlu beri dirinya masa untuk berehat.

Selain itu, untuk menghilangkan serabut minda seperti yang dikongsikan oleh Dr.Ash di TikTok adalah dengan melakukan kaedah brain-dump.

TikTok

Brain-dump adalah satu kaedah untuk membantu individu menghilangkan keserabutan dalam mindanya.

Caranya ialah individu yang sedang serabut mindanya itu menulis di atas kertas semua fikiran yang terlintas pada waktu tersebut.

Kaedah ini umpama individu tersebut mengambil semua keserabutan itu dan buang ke atas kertas.

Kata Dr. Ash, “Dan inilah sebabnya ia dipanggil sebagai brain-dump.”

“Sifat manusia ni lebih mudah untuk buat tindakan apabila kita nampak benda tu depan mata. Fikiran dalam otak kita ni kita tak nampak.

“Tapi bila dah tertulis atas kertas ia bagi kita satu keyakinan dan perasaan, ada kawal diri.”

Menurut Dr Ash lagi, selepas menenangkan diri dan bersedia, baca semula apa yang ditulis dan rancang tindakan yang sesuai.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia memuat naik info grafik berkaitan dengan kesihatan mental menerusi Facebook mereka.

KKM

Antara tips untuk menjaga kesihatan mental adalah:

  1. Elakkan pengambilan rokok, dadah dan alkohol.
  2. Dapatkan bantuan profesional jika perlu.
  3. Berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai.
  4. Makan secara sihat.
  5. Dapatkan tidur yang cukup.
  6. Lakukan aktiviti riadah, fizikal atau senaman.

Sekiranya mana-mana individu yang memerlukan khidmat kaunseling dan bantuan sokongan sosial, bolehlah menghubungi Talian HEAL di 15555.

Mengajar di Sabah dengan kad pengenalan palsu selama 29 tahun, lelaki dipenjara 10 bulan

0

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan menggunakan kad pengenalan Malaysia yang palsu dan mengajar di sebuah sekolah menengah di Sabah selama 29 tahun.

New Straits Times melaporkan guru berkenaan, Ridal Abdul Kadir, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 kerana menggunakan kad pengenalan (KP) palsu untuk mendapatkan pekerjaan.

Gambar Bernama

Lelaki berusia 54 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani di Mahkamah Majistret Keningau pada Khamis, 22 Februari.

Ridal ditahan pada 29 Januari 2024 selepas aduan dibuat berhubung perkara itu menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan pemeriksaan dokumennya di SMK Kemabong di Tenom.

Menurut fakta kes, pada 11.30 pagi, 29 Januari, satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan letak kenderaan, kuarters guru sekolah berkenaan sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal Bin Abdul Kadir.

Semakan lanjut dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu dengan nombor dan nama tersebut untuk bekerja sebagai guru di sekolah itu.

Semakan rekod mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN, bagaimanapun dengan taraf Pemastautin Sementara.

Semakan juga mendapati tertuduh memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor serta nama sama dan Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Ridal dipercayai mendapat taraf pemastautin sementara di Malaysia kerana dilahirkan di Sabah, tetapi ibu bapanya adalah warganegara Indonesia.

Sekadar Gambar Hiasan.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya mendapatkan kad pengenalan Malaysia yang palsu untuk mendapatkan pekerjaan di SMK Kemabong di Tenom pada tahun 1994.

Semasa prosiding mahkamah, pegawai pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri meminta hukuman pencegahan berdasarkan kepentingan awam dan keadilan sosial.

Beliau menegaskan memiliki kad pengenalan palsu adalah satu tindakan yang salah dan tidak bertanggungjawab.

“Apa pun alasan yang dikemukakan untuk mewajarkan pemilikan kad pengenalan palsu adalah tidak relevan.

“Tertuduh juga telah menggunakan kad pengenalan palsu ini untuk bekerja sebagai guru selama lebih kurang 29 tahun dan telah menikmati faedah sebagai penjawat awam,” hujah pendakwa raya.

Bagaimanapun, peguam Ridal, Korventt Wheezar, memohon kelonggaran untuk anak guamnya, yang merupakan pesalah kali pertama dan bapa kepada empat anak.

SMK Kemabong, Tenom, Sabah (Gambar Wikipedia)

Wheezar berhujah Ridal hanya mengambil risiko sedemikian kerana dia ingin menjadi seorang pendidik.

“Beliau telah mendidik ramai pelajar dan ahli sukan yang cemerlang dalam tahun-tahun mengajarnya, dan melakukan semua itu dengan rasa bangga dan dedikasi, semata-mata kerana mahu mendidik anak bangsa, dan akan sentiasa menjadi minatnya yang terbaik,” katanya.

Peguam itu menambah, Ridal kesal dan meminta maaf kepada semua pihak yang mungkin terkesan dengan tindakannya.

Agong berangkat rasmi Istiadat Pembukaan Parlimen

0

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini, 26 Februari.

Turut berangkat sama ke istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Gambar Bernama

Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Istiadat pembukaan Parlimen kali ini merupakan yang pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Gambar Bernama

Ketika menyampaikan Titah Diraja, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara supaya menjaga adab dan tatatertib selain menggunakan pertuturan yang sopan.

Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli dewan yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

Gambar Bernama

“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.

“Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini.

“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung  selama 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan dari kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung dari 18 Mac hingga 4 April.

Antara sorotan Istiadat Pembukaan Parlimen di bawah:

Pemandu dipukul sehingga mati, lima lelaki ditahan

0

KUALA LUMPUR: Lima lelaki ditahan kerana disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, pada 20 Februari lalu.

Berita Harian

Terdahulu, polis menerima maklumat pada pukul 9.20 malam mengenai satu kemalangan.

Setibanya di lokasi kejadian, anggota trafik mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di situ.

Pemandu kereta pula ditemui terbaring di jalan. Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan pada pergelangan tangannya seperti bekas ikatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pasukan perubatan yang hadir ke lokasi bersama ambulans kemudian mengesahkan pemandu itu sudah meninggal dunia.

Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 42 tahun.

“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, turut hadir di lokasi.

“Hasil siasatan mendapati saksi penghuni kawasan perumahan itu mendakwa selepas kereta dipandu mangsa terbabas, dia ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul.

“Kemudian, (saksi mendakwa) tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan.

“Apabila kenderaan Peronda Polis tiba di lokasi kejadian, semua individu yang berada di situ sudah beredar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hadir di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Beberapa sampel ‘swabbing’ darah dan kesan cap jari diambil, manakala dua utas gumpalan tali berwarna hijau dan coklat di lokasi turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Hasil maklumat dan risikan siasatan, kita berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 52 tahun pada pukul 2.05 pagi tadi di sekitar kawasan Semenyih serta Beranang yang disyaki ada kaitan,” katanya.

Menurut Mohd Zaid, semua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 25 Februari untuk membantu siasatan.

“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian itu kerana ada yang mendakwa ia berpunca daripada satu kemalangan lain membabitkan mangsa di sebuah lokasi berhampiran.

“Mangsa dikatakan melarikan diri dari tempat kemalangan pertama dan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sehingga kenderaannya terbabas.

“Bagaimanapun setakat ini, belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berkenaan kemalangan pertama yang didakwa membabitkan mangsa,” katanya.

Kata Mohd Zaid lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sementara itu, polis trafik membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh, melalui talian 013-7854100 bagi membantu siasatan.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kajang, Inspektor Ammar Tahir (018-2194013).

Terdahulu, tular satu rakaman video berhubung insiden mangsa didakwa melarikan diri dari lokasi kejadian selepas melanggar seorang penunggang motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat berhampiran.

Lelaki tanpa nama tinggalkan kotak berisi lima anak anjing bersama mesej menyayat hati

0

Nada pada nota yang ditinggalkannya menyayat hati. Kata-kata dalam tulisan tangan di atas kertas usang, menceritakan peristiwa malang di sebalik kisah yang malang.

Kakitangan Fayetteville Animal Protection Society (FAPS) menemui mesej terdesak itu di dalam kotak di hadapan bangunan pejabat mereka.

Kelihatan di dalam kotak itu beberapa muka kecil berbulu lembut yang comel, mata kecil yang comel dan ekor kecil anak anjing bergoyang-goyang. Renungan mata dan gerak badan mereka kelihatan penuh tenaga, tetapi anak-anak anjing ini kelihatan kekurangan zat.

Gambar FAPS/Facebook

Jackie Peery, pengarah eksekutif FAPS, memberitahu The Epoch Times: “Mereka sangat mesra, suka berkawan, dan bersemangat tinggi, kakitangan FAPS agak terkejut apabila mendapati ada lima ekor anak anjing yang ditinggalkan.”

Nota tulisan tangan itu menceritakan “kisah belas kasihan dalam menghadapi kesukaran,” katanya.

Tetapi keutamaan mereka yang paling mendesak kini ialah memastikan kesihatan anak-anak anjing itu berada dalam keadaan baik. Setiap anak anjing memerlukan makanan tambahan dan pemakanan yang dipertingkatkan, rawatan nyahcacing dan vaksinasi.

Kisah anak anjing itu telah dimuat naik dalam platform media sosial, bersama-sama dengan gambar anak anjing comel dan nota bertulisan tangan, yang mendedahkan kepada warganet tentang kisah pedih di sebalik mengapa anak-anak anjing comel itu terpaksa ditinggalkan.

Gambar FAPS/Facebook

Nota itu berbunyi:

Mohon bantuan!

Saya menemui seekor anjing jalanan betina yang saya sering beri makan telah mati di tepi jalan. Dia telah dilanggar oleh kereta. Kemudian malangnya saya menjumpai anak-anak anjing ini… Saya tahu dia itu ibu kepada anak-anak anjing ini, dan selepas mencari di lokasi berhampiran yang biasa saya lihat, saya menemui anak-anak itu.

Saya rasa menyesal meninggalkan mereka seperti ini kerana saya sendiri kehilangan tempat tinggal dan tidak mampu untuk menjaga mereka. Hati saya hancur demi mereka dan ibu mereka. Saya cuma mahu mereka berpeluang disayangi dan dipedulikan seperti mereka mempunyai ibu, dan bukan seperti saya yang tidak pernah mendapat kasih sayang seorang ibu.

Tolong jangan fikir yang buruk-buruk tentang saya. Tetapi sukar untuk meninggalkan mereka sendirian dalam kesejukan menunggu ibu mereka yang tidak lagi selamanya pulang ke rumah.

Ikhlas, Lelaki Tidak Bernama.

Jackie Peery memberitahu dia dan pasukannya amat tersentuh dan terharu dengan kisah gelandangan itu. Identiti lelaki gelandangan itu masih lagi menjadi misteri.

“Satu-satunya maklumat yang kami ada mengenai anak anjing itu ialah nota yang ditinggalkan oleh lelaki yang tidak dikenali ini,” katanya.

Dalam hantaran di Facebook, organisasi FAPS mencadangkan kepada lelaki tidak bernama itu: “Jika anda mahu, sila singgah ke rumah perlindungan untuk melihat anak anjing ini dan menerima ucapan terima kasih kami!”

Peery memberitahu The Epoch Times: “Walaupun serba kekurangan, dia tetap menjaga anjing jalanan dan menyelamatkan anak-anaknya daripada cuaca buruk. Ia sungguh menyentuh hati.”

“Sekarang mereka sangat gembira, kenyang dan tidur di atas tilam hangat dalam kandang mereka,” katanya.

Anak-anak anjing itu, kini berusia 8 minggu, telah diadopsi pada 1 Februari. Peery berharap mereka akan menemui rumah yang sesuai tidak lama lagi. Nasib mereka mendedahkan betapa banyak haiwan lain yang memerlukan dan masih menunggu untuk rumah kekal mereka.

Gambar FAPS/Facebook

Rumah perlindungan FAPS berterima kasih atas sokongan daripada masyarakat. Jackie Peery berkata FAPS tidak menerima pembiayaan kerajaan untuk operasi hariannya. Tetapi memastikan haiwan terbiar dijaga dengan baik dan menerima rawatan diperlukan, yang memakan kos yang tinggi.

“Kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dan derma masyarakat untuk kerja menyelamat haiwan kami,” katanya.

FAPS telah diasaskan pada 1982 oleh sekumpulan wanita yang menyayangi haiwan. Organisasi itu adalah satu-satunya tempat perlindungan haiwan tanpa membunuh dan badan bukan keuntungan yang beroperasi di Fayetteville dan Fort Liberty, North Carolina, Amerika Syarikat. Sehingga kini, organisasi itu telah menyelamatkan puluhan ribu haiwan.

Ketua Menteri Sarawak paling lama Tun Taib Mahmud meninggal dunia

0

KUALA LUMPUR – Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud meninggal dunia di Kuala Lumpur pada jam 4.28 pagi Rabu, 21 Februari.

Allahyarham Tun Taib Mahmud, yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.

Facebook

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengesahkan pemergian Allahyarham pada awal pagi 21 Februari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof turut mengesahkan dengan berkata jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum diterbangkan ke Kuching untuk penghormatan terakhir yang akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dan dikebumikan pada petang esok.

Tun Taib Mahmud berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014, dan merupakan Ahli Parlimen (MP) kedua paling lama berkhidmat iaitu selama 38 tahun.

Facebook

Allahyarham adalah Ahli Parlimen Kota Samarahan dari 1970 hingga 2008 dan kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh sejak 10 tahun lalu sehingga 25 Januari 2024.

Ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham mempamer kualiti sebagai pemimpin rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan agama.

Tun Taib Mahmud yang juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Sarawak telah menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak di bawah dasar politik pembangunan dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai negeri ekonomi moden. 

Jenazah Allahyarham akan disemadikan dalam upacara pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Demak Jaya pada petang esok, 22 Februari.

Lelaki warga asing pukul, samun pekerja bank berjaya ditahan di Kota Kinabalu

0

Seorang pekerja wanita sebuah bank berdepan detik cemas apabila dipukul sebelum disamun seorang lelaki warga asing dalam kejadian berhampiran sebuah hotel di Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada Jumaat, 16 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan kayu.

Sabah Sin Chew Daily / Facebook

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata kejadian berlaku ketika wanita terbabit sedang berjalan kaki menuju ke tempat kerjanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tiba-tiba didatangi seorang lelaki dan dipukul menggunakan kayu dari arah belakang.

“Mangsa cuba mempertahankan diri, namun suspek memukulnya beberapa kali.

“Suspek kemudian menarik beg tangan wanita itu sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, tular klip video di media sosial memaparkan seorang wanita dipukul sebelum beg duit mangsa dilarikan seorang lelaki.

Sabah Sin Chew Daily / Facebook

Kalsom berkata, mangsa yang cedera di kepala dan badan mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk kehilangan telefon pintar dan wang tunai.

Katanya, kejadian sempat dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun berjaya ditahan pada jam 2.30 pagi, 18 Februari.

“Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya.

“Suspek positif dadah jenis metaphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sabah Sin Chew Daily / Facebook

Sementara itu, Kalsom menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam.

“Ini kerana ia dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan mangsa.

“Elakkan juga ke tempat atau ke kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” saran Kalsom.

Pencipta kandungan Taiwan dihukum 2 tahun penjara selepas palsukan penculikan di Kemboja

0

Seorang pencipta kandungan dari Taiwan mendakwa dia melawat asrama mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja, di mana dia kemudian “diculik” oleh pengawal, sebelum muncul semula pada keesokan harinya melalui satu lagi video siaran langsung dengan berkata dia melarikan diri daripada cengkaman penculik berbahaya.

Yang mana terbukti ia adalah cerita palsu semata-mata.

The Cambodia China Times / Facebook

“Saya diseksa, dikenakan renjatan elektrik dan mereka mengambil semua wang saya,” dakwanya sambil menampakkan rambutnya yang telah separuh dicukur dan pakaiannya yang koyak.

Dia kemudiannya ditangkap bersama seorang lagi lelaki Taiwan oleh polis Kemboja kerana memfitnah, dan disahkan bahawa penculikan dan serangan itu hanyalah satu rekaan atau lakonan. Dia mengaku telah “menulis dan mengarah” ceritanya, dan mementaskannya secara keseluruhan.

The Cambodia China Times melaporkan kedua-dua pencipta kandungan itu didapati bersalah dan akan menghabiskan kehidupan mereka yang seterusnya di dalam penjara selama 2 tahun.

Gambar Mirror Media

Polis Kemboja turut menemui topeng, pakaian seragam tentera, pistol palsu, darah palsu dan beberapa jenis peralatan lain bersama pencipta kandungan itu, yang dipercayai telah digunakan untuk “penggambaran” penculikan dan lakonan serangannya.

Pada sidang akhbar, lelaki itu mengambil kesempatan untuk melutut dan memohon maaf kepada rakyat Kemboja atas kesilapan mereka, tetapi polis segera menarik mereka kembali berdiri.

“Tidak, Kemboja tidak menakutkan!” katanya.

Mengetahui bahawa nasibnya sudah ditentukan, dia juga mengambil peluang dan masa itu untuk menjelaskan bahawa Kemboja tidak seperti anggapan ramai iaitu berbahaya dan menakutkan.

Gambar Mirror Media

“Kemboja adalah sebuah negara yang indah dan baik untuk pelancongan. Tiada penipuan, pengedaran dadah atau penculikan di sini. Saya memohon maaf untuk video saya. Ia sama sekali cerita palsu.”

Kedua-dua warga Taiwan itu juga perlu membayar denda KHR 4 juta (kira-kira RM4,700) atas jenayah mereka.

Dalam satu kenyataan, polis Kemboja juga berkata mereka memandang serius isu ini dengan tidak akan berkompromi atau memberi kelonggaran.

“Jika kami memaafkan mereka, ia memberi peluang kepada orang lain untuk datang dan mencipta cerita palsu tentang negara ini dan pihak berkuasa,” kata polis Kemboja.

The Cambodia China Times / Facebook

Kedua-dua pencipta kandungan itu melawat Kemboja semata-mata untuk mengadakan lakonan mereka demi meraih perhatian dan menjadi sensasi.

Sentiasa ada sebab dan akibat untuk sesuatu yang salah. Semoga ia menjadi iktibar dan peringatan buat pencipta kandungan lain untuk lebih berhati-hati dengan perkara yang mereka ingin kongsikan dan cuba untuk raih.

Penghantar makanan sengaja bakar kereta polis bantuan untuk raih trafik tinggi TikTok hadapi 2 pertuduhan

0

Baru-baru ini, seorang penghantar makanan telah membakar sebuah kereta peronda polis bantuan di Mutiara Damansara. Dia kemudian menyiarkan video kelakuannya itu di TikTok, sambil merakam mukanya di hadapan kereta yang sedang terbakar sambil memberi tanda ‘peace’.

Lelaki berusia 26 tahun itu kini telah ditahan dan didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana dan menconteng dinding stesen pada 15 Februari lalu.

Gambar PDRM

Bagaimanapun, tertuduh Mohamad Hasif Syazani Zulkifle mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Mohamad Hasif didakwa melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, pada jam 1.17 pagi 15 Februari.

@MALAYSIAVIRALLL/X

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit pada jam 1.10 pagi hari yang sama.

Kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim dan Noor Khairun Nisa Noor Harun masing-masing mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Gambar Harian Metro

Mereka turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Peguam tertuduh, Kailash Sharma pula memohon jaminan paling minimum apabila menegaskan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri dan rekod jenayah.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac.

Sebelum ini, dilaporkan polis menahan lelaki terbabit di Flora Damansara kerana disyaki membakar kereta polis bantuan.

Gambar PDRM

Lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis selepas dikesan memuat naik video berdurasi lima saat mengenai kejadian kebakaran itu dalam aplikasi TikTok atas akaun miliknya.

Polis turut merampas tukul besi dan botol air yang disyaki digunakan bagi mengisi petrol untuk digunakan dalam kebakaran itu, selain mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing.

Siasatan motif kejadian termasuk kemungkinan suspek ingin mencari jumlah trafik tinggi untuk akaun TikTok miliknya.

Asap mercun punca bapa artis diserang asma lalu meninggal dunia

0

Asap mercun punca asma menyerang. Selepas beberapa hari bertarung nyawa, bapa kepada artis tempatan Nick dan Stella Chung, akhirnya meninggal dunia.

Facebook

Nick Chung menerusi Facebooknya berkongsikan hal yang menimpa bapanya pada Tahun Baharu Cina yang lalu.

Selepas menikmati makan malam bersama, Nick Chung sekeluarga menyaksikan pertunjukan mercun.

Menurut Nick Chung, bapanya itu amat menggemari pertunjukan mercun. Namun saat menggembirakan itu bertukar tragedi sebaik sahaja bapanya terhidu asap mercun.

Bapa Nick Chung diserang asma serta-merta. Dia mengalami sesak nafas, wajahnya berubah kebiruan, kaku dan sejuk. Mereka sekeluarga bergegas mengejarkan si bapa ke hospital.

Setibanya di hospital, doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) [rujuk PRPM] sebanyak dua kali untuk menyelamatkan bapa mereka.

Apabila jantung bapa Nick Chung berhenti berdenyut, doktor melakukan CPR. Jantungnya berdenyut, namun berhenti semula. Doktor melakukan CPR kali kedua sebelum jantungnya berdenyut kembali.

Facebook

Selepas itu, bapa Nick Chung koma.

Sudah takdir. Selepas beberapa hari bertarung nyawa, bapa Nick Chung, Thong Chung Kiang Hwa akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Februari lalu.

Nick Chung berkongsikan berita kematian bapanya itu di Facebooknya. Ramai kenalan, peminat serta rakan artis mengucapkan takziah atas atas kehilangan itu.

“Perkara yang sangat saya takutkan sejak kecil, yang selalu membuatkan saya termimpi-mimpi, akhirnya terjadi. Saya harap itu hanya mimpi buruk.

“Terima kasih kepada rakan-rakan dan saudara-mara yang datang menziarahi kami semalam. Mereka sangat ikhlas.” Tulis Nick Chung.

Dalam pada itu, Nick Chung yang turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa lebih menyayangi ibu bapa serta menghargai mereka yang ada di sekeliling.

Facebook

“Terima kasih untuk semua yang ayah sudah lakukan untuk saya. Saya akan sentiasa mengingatinya dan bersyukur. Saya pasti akan menjadi anak ayah pada kelahiran seterusnya!

“Saya rindukan ayah.

“Ayah, kami sayangkan ayah.

“Jumpa ayah di syurga nanti.” ujar Nick Chung.

“Walaupun kita berat rasa hati untuk melepaskan, namun kita perlu berpisah.

“Ayah, selamat jalan.” Tulis Stella Chung yang turut berkongsi khabar duka itu di Facebooknya.

Facebook

“Ayahlah penguat semangat kami. Kasih sayang ayah akan tetap bersama kami selamanya.

“Walaupun ayah telah meninggalkan kami, semangat ayah akan terus bersama kami, memimpin kami menuju masa depan.

“Ayah, kami sayangkan ayah.

“Kami akan menjaga ibu, jangan bimbang,” Tulis Stella.

Stella menyifatkan bapanya yang berusia 80 tahun itu seorang yang baik hati, suka tersenyum dan ringan tulang.

Kami mengucapkan takziah kepada Nick dan Stella Chung atas kehilangan bapa tersayang mereka.