Masih ingat dengan kemeriahan majlis konvokesyen suatu ketika dahulu semasa virus Covid-19 masih belum wujud? Kemeriahan dan kegembiraan yang dirasakan bukan hanya sehari dua tetapi kekal di dalam ingatan buat selama-lamanya terutama buat graduan yang diraikan.
Hari konvokesyen pastinya sangat istimewa buat semua graduan. Kalau boleh semuanya harus sempurna pada hari itu. Namun, tiada yang dapat mengelak jika ada hal-hal yang tidak diingini berlaku. Misalnya seperti yang berlaku kepada seorang graduan apabila dia terperangkap dalam kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk menghadiri majlis konvokesyennya.
Kevin Rayappan, 28, yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) itu dikatakan terpaksa menumpang motosikal orang awam untuk ke majlis konvokesyennya ekoran kesesakan luar biasa yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang. Bimbang dia akan terlepas majlis tersebut dia akhirnya memutuskan untuk turun bersama jubah konvokesyen dan menahan penunggang motosikal yang sudi menumpangkannya.
Kisah Kevin dikongsi oleh USM dalam catatan Facebook rasmi universiti itu pada 24 Mei lalu.
Dalam catatan itu, USM berkata graduan itu berasa sangat cemas apabila dia dan ibu bapanya masih berada di jambatan Pulau Pinang pada pukul 9 pagi Isnin.
“Saya memang sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi, namun saya bersama kedua ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.
“Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” kata Kevin, yang gambarnya memegang pakaian akademik di jambatan itu tular di media sosial.
Menurut Kevin dia teruja dan bersyukur kerana ada insan yang sudi menumpangkannya sehingga ke USM dengan selamat untuk dia meraikan kejayaan bergraduasi dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bersama rakan-rakannya yang lain.
Mengulas kembali detik cemas itu, Kevin berkata, beliau bersama kedua ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pada jam 6.30 pagi namun tidak menyangka kesesakan teruk ekoran kemalangan maut yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.
“Mula-mula saya harapkan kesesakan tidak berpanjangan tetapi setelah melepasi jam 9.00 pagi kenderaan masih tidak bergerak, saya nekad turun dan mencari alternatif kerana impian saya cuma ingin naik ke pentas terima skrol hari ini,” katanya.
Katanya, dia terharu kerana seorang penunggang motosikal sanggup menghantarnya ke kampus.
“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau.
“Tanpa bantuan beliau, saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” ujar Kevin yang turut gembira kerana kedua ibu bapanya iaitu Rayappan, 62 dan Mary, 48 yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikannya menerima ijazah.
Pada akhir catatan Facebook, USM berkata mereka menyedari kesesakan lalu lintas yang dihadapi graduan dan telah menangguhkan sesi majlis tersebut selama 30 minit.
Selepas kisah Kevin tular, netizen cuba mencari ‘penunggang motosikal misteri’ itu kerana ingin memberi ganjaran atas pertolongannya.
“Adakah sesiapa melihat nombor plat penunggang motosikal itu? Tolong viral kan perkara ini. Kita patut memberi ganjaran kepada orang ramai atas jasa mereka,” komen seorang pengguna Facebook.
“Semoga penunggang motosikal itu dapat ditemui! Dia benar-benar membantu orang yang sedang berada dalam kesusahan,” tambah seorang lagi netizen.
Seorang wanita berusia 57 tahun di Tamil Nadu, India, melakukan pengorbanan besar apabila menyamar sebagai lelaki selama lebih 30 tahun demi membesarkan anak perempuannya dengan selamat.
S. Petchiammal kehilangan suami yang meninggal dunia akibat serangan jantung sejurus selepas perkahwinan mereka.
Wanita ini baru berusia 20 tahun ketika itu.
Gambar oleh The New Indian Express
Petchiammal melahirkan seorang bayi perempuan selepas kematian suaminya dan memutuskan untuk membesarkan anak perempuan itu seorang diri.
Bagaimanapun, ibu tunggal ini berhadapan masa sukar dengan menerima ejekan dan gangguan di tempat kerja kerana jantinanya.
“Saya kehilangan suami Siva hanya 15 hari selepas berkahwin. Saya baru berusia 20 tahun ketika itu, dan tidak lama kemudian saya melahirkan Shanmugasundari. Saya memutuskan untuk tidak berkahwin lagi. Tetapi membesarkan anak seorang diri ternyata amat sukar. Saya bekerja di tapak pembinaan, hotel dan kedai teh. Tetapi saya mengalami gangguan di semua tempat ini,” dedah Petchiammal.
Gambar oleh The New Indian Express
Untuk terus bekerja dan membesarkan anak perempuannya secara aman dalam masyarakat patriarki dengan dominasi lelaki, Petchiammal memotong rambutnya menjadi pendek dan menyamar sebagai seorang lelaki dikenali “Muthu”.
Petchiammal kemudiannya berpindah ke kampung Kattunayakkanpatti berhampiran bandar Thoothukudi di Tamil Nadu, dan kad pengenalannya serta dokumen rasmi lain telah digunakan di bawah identiti lelaki bernama “Muthu”.
“Kami menetap di Kattunayakkanpatti lebih 20 tahun lalu. Hanya saudara terdekat saya di rumah dan anak perempuan saya tahu hakikat saya seorang wanita,” katanya.
Gambar oleh The New Indian Express
Petchiammal selamat membesarkan anak perempuannya selama ini dengan menggunakan identiti itu. Anak perempuannya Shanmugasundari kini sudah berkahwin.
The New Indian Expressmelaporkan wanita ini berkata dia ingin mengekalkan identiti sebagai Muthu sepanjang hayatnya.
“Identiti ini memastikan kehidupan yang selamat untuk anak perempuan saya. Saya akan kekal Muthu sehingga meninggal dunia,” katanya.
Sudah tentu ketika membeli barangan dalam talian, maka kita tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan barangan diingini kerana semuanya boleh dicari secara dalam talian sahaja.
Malah, kadangkala harga jualan dalam talian lebih murah berbanding membeli di luar.
Bila barangan yang dipesan dan dibeli telah sampai ke rumah atau pejabat, prosedur biasa pekerja kiriman cepat akan mengambil gambar kita atau barangan sebagai bukti ia telah sampai di rumah atau pejabat.
Hendak dijadikan kisah tular, baru-baru ini seorang gadis memuji abang ‘courier’ yang pandai mengambil ‘angle’ gambar ‘proof of delivery’ telah menarik perhatian ramai.
Menerusi satu ciapan di Twitter, gadis itu memuji seorang pekerja kiriman cepat yang menghantar barangan kepadanya di alamat yang ditetapkan untuk dia menerimanya.
Dia kemudian terkejut melihat hasil gambar ‘proof of delivery’ kerana ianya kelihatan sangat cantik.
this is hilarious but why does my “Proof of Delivery” picture on Shopee looks good 😭 pic.twitter.com/edfHifxpqa
“Ini luculah, tapi kenapa gambar “Proof of Delivery” saya dalam Shopee nampak cantik?” tanya pengguna Twitter @Shelenning.
Malahan dia turut memuji pekerja tersebut pandai mengambil gambar dan tahu ‘angle’ yang cantik. Menyebabkan ciapan tersebut tiba-tiba mengundang perhatian ramai.
Rata-rata pengguna Twitter memberikan pelbagai reaksi memuji sehinggakan ada yang berkongsi gambar mereka dan barangan diambil oleh pekerja kiriman cepat.
Robert Snow, juruterbang American Airlines, antara 3 syarikat penerbangan terbesar di Amerika Syarikat berpengalaman selama 31 tahun dalam penerbangan komersial dan tambahan tujuh tahun pengalaman sebagai juruterbang Tentera Udara Amerika Syarikat.
Snow berkata dia mungkin tidak dapat terbang lagi selepas mengalami serangan jantung hanya 6 atau 7 minit selepas mendaratkan pesawat yang dipandunya dari Denver ke Dallas Fort Worth (DFW).
Dia masih mempunyai dua lagi penerbangan yang dijadualkan pada 9 April.
Snow percaya serangan jantungnya berkaitan dengan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson yang terpaksa diambilnya untuk mengekalkan tugas pada 4 November 2021, walaupun dia mendakwa sudah mempunyai imuniti semula jadi daripada jangkitan virus itu sebelum ini.
Dr. Peter McCullough, pakar kardiologi terkenal dunia, memberitahu Newsmax bahawa kes Snow bersesuaian dengan “pola”.
“Tiada penjelasan lain,” kata McCullough mengenai kes Robert Snow kerana juruterbang itu tidak mempunyai penyakit koronari.
“Pola MRI adalah konsisten,” kata doktor itu. “Sememangnya, ia mungkin myocarditis yang disebabkan oleh vaksin dengan manifestasi lewat kematian jantung.”
Di samping itu, dia memberitahu The Epoch Times, telah menerima “beberapa panggilan telefon dan komunikasi daripada rakan dalam industri yang berpendapat bahawa mereka mungkin menghadapi masalah dengan vaksin.”
Paling membimbangkan ialah sesetengah juruterbang “takut untuk menaikkan bendera dan berkata, ‘Hei, rasanya saya mungkin menghadapi masalah kerana mereka takut akan kehilangan sijil perubatan mereka untuk terbang, yang jika kami kehilangan sijil perubatan, kami tidak lagi boleh beroperasi. Kami tidak boleh menjadi juruterbang komersial lagi. Dan dalam senario terburuk, yang mungkin saya alami sekarang ialah anda tidak boleh terbang langsung. Selesai,” kata Snow.
“Saya hanya akan memberitahu anda ada juruterbang lain di luar sana yang mempunyai kebimbangan, bukan hanya juruterbang, juga kerana ia adalah mandat pekerja. Jadi kami mempunyai pramugari, kami mempunyai mekanik, kami mempunyai penghantar, kami mempunyai ejen pintu, sebut sahaja. Sudah tentu, untuk juruterbang, kami menganggap bahawa kerja sensitif dan keselamatan, jadi kami sedikit lebih prihatin dari sudut keselamatan penerbangan; tetapi ya, saya telah menerima panggilan daripada juruterbang lain dan komunikasi lain yang menyatakan bahawa mereka mempunyai kebimbangan tetapi kerana sifat perkara ini, mereka takut untuk tampil ke hadapan.”
Juruterbang veteran itu mempunyai persoalan serius tentang vaksin COVID-19 baru yang sepatutnya mencegah jangkitan daripada virus PKC, tetapi kini diketahui memberikan sedikit perlindungan terhadap jangkitan selepas varian Omicron menjadi dominan.
Lebih-lebih lagi, dalam kes myocarditis—keradangan otot jantung dan pericarditis—keradangan pada lapisan luar jantung telah meningkat secara mendadak sejak vaksin COVID-19 mula diberikan di seluruh dunia.
Snow tidak mahu mendapatkan suntikan, tetapi sebagai pencari nafkah tunggal untuk keluarganya, dia memutuskan untuk mengambil risiko.
Sambil mengeluh pendek, Snow memberitahu The Epoch Times, “Pada mulanya, majikan saya tidak memaksa vaksin kepada pekerjanya. Mereka kemudiannya menukar fikiran pada 1 Oktober, sempena dengan mandat pejabat eksekutif di Amerika Syarikat ke atas kontraktor persekutuan. Mereka memutuskan kini mereka akan menguatkuasakan mandat vaksin ke atas semua pekerja syarikat penerbangan itu. Dan sehubungan itu, kami diberitahu jika kami tidak menerima vaksinasi, khidmat kami akan ditamatkan. Tiada persoalan tentang keikhlasan pada masa memberikan kenyataan mereka.”
Syarikat penerbangan, yang merupakan kontraktor kerajaan, terjejas oleh perintah eksekutif Presiden Joe Biden berkuatkuasa September yang menyatakan semua pekerja syarikat tersebut perlu diberi vaksinasi menangani virus PKC.
The Epoch Times melaporkan pada Disember tahun lalu Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah melanggar peraturannya sendiri yang menyatakan juruterbang tidak boleh terbang selepas mengambil ubat yang telah diluluskan kurang dari setahun, menurut sekumpulan peguam, doktor, dan pakar lain; termasuk seorang juruterbang lain yang mengatakan kerjayanya berakhir kerana menerima kesan advers akibat vaksin.
“Jadi saya memilih, selepas beberapa pertimbangan serius memandangkan saya adalah satu-satunya sumber pendapatan keluarga saya, jadi saya akan meneruskan dan menerima vaksin. Saya sebenarnya tidak mahu,” kata Snow.
“Saya mempunyai soalan serius tentang keselamatan dan kecekapan serta keberkesanan vaksin. Saya sudah pun mendapat COVID-19. Saya telah pun diuji positif untuk antibodi, dan benar-benar tidak nampak rasionalnya. Tetapi, satu-satunya penyelesaian yang mungkin saya sediakan untuk tidak menerima vaksin adalah meminta pengecualian agama atau perubatan. Kedua-duanya tidak saya rasa saya perlu minta. Pengecualian perubatan, saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk tidak, secara saintifik, mereka tidak menerimanya, selain fakta bahawa ia dikeluarkan di bawah EUA dan tidak diuji sepenuhnya. Dan setakat pengecualian agama, saya tidak nampak apa-apa sebab untuk memohonnya kerana saya sebenarnya tidak mempunyai kepercayaan agama yang akan menghalang saya daripada menerima vaksinasi ini. Jadi atas sebab moral dan etika, tentu sekali. Tetapi itu tidak dianggap sebagai alasan yang sah untuk tidak mendapatkan vaksin itu.”
Juruterbang veteran itu mengalami sakit lengan selama 10 hari selepas mendapat suntikan, dan kemudian mengalami kesakitan pelik yang merebak melalui bahagian atas badannya.
Snow berkata lengannya menjadi “agak sakit,” selama 10 hari, sesuatu yang dia tidak pernah alami dengan sebarang vaksinasi sebelumnya. Untuk vaksin lain untuk perjalanan atau dalam tentera, dia biasanya akan mengalami kesakitan selama dua atau tiga hari paling maksimum.
Keadaan kembali normal sehingga Januari, kemudian dia mengimbas:
“Saya dalam penerbangan itu dan menyedari kesakitan yang pelik semasa saya bekerja pada panel atas. … Saya mengalami sakit pelik di bahu kanan saya, seolah-olah merebak ke sukuan kanan bawah dan kemudian naik ke dada melalui tulang belikat saya, yang saya fikir sangat pelik, tetapi saya hanya mengaitkannya dengan memanipulasi diri. Anehnya pada panel atas, mungkin mengubah saraf atau sesuatu seperti itu, kerana saya benar-benar tidak mempunyai sejarah tentang perkara itu yang pernah saya alami. Jadi [kesakitan] hilang selepas satu atau dua minit dan kemudian kembali normal.
“Apabila kami menamatkan penerbangan itu, saya benar-benar diuji positif sekali lagi untuk COVID-19 buat kali kedua, [kali] pertama saya mengalaminya adalah pada Mac 2021. Kali kedua kemudian pada Januari 2022—ini adalah selepas vaksinasi, ingat ya— dan itulah yang saya anggap sebagai varian Omicron kerana ia pada dasarnya menunjukkan dirinya sebagai alahan, saya terus banyak bersin, hidung berair dan itu sahaja, tiada demam, tiada menggigil, tiada apa-apa, tiada rasa dan bau seperti saya mendapatnya pada kali pertama. Jadi saya kembali bekerja, selepas tempoh masa wajib, dan saya mula mengalami kesakitan semula, hanya sedikit lebih kerap kali ini. Jadi sebenarnya, dengan sejarah masalah gastrousus, saya pergi berjumpa pakar gastroenterologi yang dia memilih untuk melakukan endoskopi untuk melihat sama ada saya mungkin mengalami hiatal hernia atau sesuatu yang memburukkan saraf vagus. Kami juga melakukan imbasan CAT pada perut.
“Semasa menunggu keputusan imbasan CAT abdomen, ketika itulah saya mengalami serangan jantung mengejut dan itu selepas penerbangan dari Denver ke DFW. Kami berada di pintu pagar hanya beberapa minit selepas menutup pesawat, mungkin kira-kira enam minit, enam, tujuh minit selepas pendaratan. Dan saya berdiri untuk mengambil beg saya bagi meneruskan tugas ke pesawat seterusnya. Kami perlu menamatkan dengan pusingan lain ke bandar lain untuk kembali dan kemudian menamatkan perjalanan pada hari keempat. Dan itulah yang terakhir saya ingat, berdiri mengambil bagasi saya. Dan pada ketika itu, saksi mengatakan saya rebah di dek penerbangan. Dan itu sahaja yang saya tahu pada ketika ini. Apabila saya tersedar, saya berada di ICU di Baylor Scott and White di Grapevine Texas, mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.”
Snow kini perlu memakai defibrilator luaran automatik atau “life vest” yang memantau degupan jantungnya, kecuali ketika mandi apabila dia sepatutnya dipantau oleh ahli keluarga. “Life vest” direka supaya jika irama jantung menjadi tidak normal, ia akan menghantar kejutan kecil untuk mengembalikannya kepada ritma sinus, dan jika ia mengesan fibrilasi atrium penuh, fibrilasi ventrikular, atau apa-apa jenis fibrilasi, ia akan menghantar banyak kejutan yang lebih kuat untuk cuba mengembalikannya ke rentak yang betul.
Walaupun dengan semua trauma ini, Snow berasa sangat bertuah kerana dia menerima penjagaan profesional dengan segera, yang tidak berlaku kepada ramai orang lain.
Menurut heart.org: “Serangan jantung ialah apabila jantung berhenti berdegup. Kira-kira 350,000 kes berlaku setiap tahun di luar hospital, dan kadar kelangsungan hidup kurang daripada 12 peratus. CPR boleh menggandakan atau tiga kali ganda peluang untuk hidup.”
“Jika anda melihat nombor … saya cuba untuk tidak melihatnya terlalu dekat kerana ia agak menakutkan.” Snow berkata, merujuk kepada kadar mereka yang terselamat daripada serangan jantung.
“Perkara yang membimbangkan saya, adalah ini berlaku di tempat yang betul pada masa yang betul. Kerana jika ia berlaku … pada bila-bila masa lain di mana saya bersendirian atau melebihi masa tindak balas yang munasabah untuk respons perubatan, saya tidak akan berada di sini untuk mengadakan perbualan ini.”
John Pierce Law, yang sebelum ini mewakili ramai ahli konservatif terkemuka, akan menyaman 18 syarikat penerbangan utama, termasuk American Airlines, dengan memberi tumpuan kepada dakwaan tidak berperlembagaan mandat vaksin yang dikenakan ke atas pekerja syarikat penerbangan itu.
The Epoch Times telah menghubungi Johnson & Johnson untuk mendapatkan komen.
Baru-baru ini, pasangan ibu bapa dari Hong Kong membawa anak mereka ke pusat beli-belah, tetapi kanak-kanak itu secara tidak sengaja telah terlanggar anak patung Teletubbies gergasi setinggi 1.8 meter dan mereka terpaksa membayar pampasan hampir RM20,000.
Selepas insiden itu, satu video dalam talian membuktikan kanak-kanak itu sebenarnya tidak berniat memecahkan patung Teletubbies Laa-Laa bernilai HK$52,800 dan hanya tersandar lalu ia terjatuh.
Media Hong Kong melaporkan, petugas di kedai mainan berkata pada masa itu, “Anak lelaki awak menendang anak patung ini”, dan bapanya tersilap menyangka anak lelakinya yang menendang patung Teletubbies Laa-Laa itu, jadi dia terpaksa membayar pampasan kepada kedai mainan yang memakan kos ganti rugi HK$33,600 (RM18,813) selepas diberi diskaun.
Sehingga hari ini, selepas video tular di platform media sosial, semua orang mengetahui yang budak lelaki berkenaan sebenarnya tidak menendang Teletubbies Laa-Laa dengan sengaja, seperti yang dikatakan petugas itu, menyebabkan ia terjatuh, tetapi dia secara tidak sengaja mahu bersandar lalu menyebabkan insiden patung jatuh dan pecah itu berlaku.
Ibu bapa budak itu juga mengetahui kebenaran selepas melihat video yang tular, dan mendapati mereka telah salah menyalahkan anak mereka. Mereka juga mendakwa petugas itu berkata dengan nada mengelirukan apabila mula menuduh mereka sebelum mengetahui kebenaran.
Mereka menyangka anak mereka yang menendang Teletubbies Laa-Laa, tetapi percaya kedai itu juga bertanggungjawab kerana mendedahkan patung mahal kepada kerosakan.
Patung Teletubbies gergasi itu sepatutnya dilindungi atau ditutup dengan pagar untuk menghalang sesiapa daripada menghampiri, memandangkan ia anak patung gergasi yang mahal.
Dan beberapa netizen mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama insiden berlaku di kedai itu, dengan mengatakan perkara sebegini sudah tiga kali berlaku, tetapi kesahihannya masih belum dapat dipastikan.
Kedai mainan KK Plus yang terlibat dalam kejadian itu turut menjelaskan dalam kenyataannya pada 24 Mei dengan mengatakan kejadian itu telah ditangani dan diselesaikan dengan persetujuan kedua-dua pihak. Mereka juga menjelaskan selepas insiden ini, kejadian yang sama akan dipastikan tidak lagi berulang.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengeluarkan makluman pada hari Jumaat 20 Mei yang meminta doktor di seluruh Amerika Syarikat supaya berwaspada terhadap wabak monkeypox atau cacar monyet, setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan 80 kes di 11 negara.
Monkeypox adalah penyakit jangkitan virus yang secara tipikal adalah endemik di Afrika tengah dan barat, tetapi sejak awal Mei, berpuluh-puluh kes yang disahkan telah dilaporkan di beberapa negara di luar benua itu. Banyak lagi kes yang disyaki ketika ini sedang disiasat.
CDC meminta para doktor supaya “berwaspada dengan ciri ruam yang dikaitkan dengan cacar monyet” dan menggambarkan ruam sebagai melibatkan “vesikel atau pustula yang mendalam, pejal atau keras, dan menerap lilit dengan baik,” sambil menambah bahawa ‘lesion’ “mungkin berpusat atau jadi bergabung dan berkembang dari semasa ke semasa menjadi kudis.”
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) di Atlanta. (Gambar oleh Tami Chappell/Reuters)
Ia menambah para doktor perlu lebih curiga terhadap penyakit itu dan menganggapnya sebagai diagnosis yang berpotensi sekiranya, sebagai tambahan kepada ruam berciri, pesakit mereka telah mengembara ke negara dengan kes monkeypox yang disahkan baru-baru ini; laporan mempunyai hubungan dengan sesiapa yang menghidap monkeypox, atau disyaki monkeypox, atau mempunyai ruam yang serupa dengan rupa monkeypox; atau seorang lelaki yang kerap mempunyai hubungan peribadi atau intim dengan lelaki lain.
“Luka mungkin merebak atau terletak di kawasan kemaluan atau perianal sahaja,” CDC turut menyatakan dalam makluman itu.
“Sesetengah pesakit mungkin mengalami proctitis, dan penyakit mereka boleh dikelirukan secara klinikal dengan jangkitan seksual (STI) seperti sifilis atau herpes, atau dengan jangkitan virus varicella zoster,” tambah agensi itu. Proctitis adalah keradangan pada lapisan rektum dan boleh menyebabkan sakit rektum, cirit-birit, pendarahan, dan lelehan.
Simptom virus monkeypox yang jelas di tangan pesakit (Gambar ihsan CDC/Getty Images)
Sebelum bulan Mei, kes di luar Afrika adalah antara individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Nigeria atau kontak dengan orang lain yang disahkan menghidap monkeypox, kata CDC. Tetapi terdapat kes yang disahkan sejak awal bulan tanpa sejarah perjalanan ke Afrika, kata CDC, sambil menambah sumber kes adalah “tidak diketahui.”
Kes di luar Afrika telah dilaporkan di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada, serta di seluruh Eropah termasuk Portugal, Sepanyol, Sweden, Itali, Belgium, Perancis dan Jerman. Bilangan monkeypox yang disahkan di United Kingdom tempat penyakit itu pertama kali dikesan di luar Afrika, telah mencecah 20 kes setakat 20 Mei.
CDC menekankan dalam kes United Kingdom, terdapat “kumpulan kes berkelompok sementara yang melibatkan empat orang yang mengenal pasti diri sebagai gay, biseksual atau lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.”
Seorang pesakit menderita penyakit cacar monyet atau monkeypox di Republik Demokratik Congo pada tahun 1997. (Gambar Brian W.J Mahy/CDC)
“Sesetengah bukti menunjukkan kes di kalangan [lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki] mungkin dikaitkan secara epidemiologi; pesakit dalam kluster ini dikenal pasti di klinik kesihatan seksual,” katanya. “Ini adalah penyiasatan yang berkembang dan pihak berkuasa kesihatan awam berharap untuk mengetahui lebih lanjut mengenai laluan pendedahan pada hari-hari mendatang.”
Wabak terkini ‘Atipikal’: WHO
WHO berkata pada hari Jumaat 20 Mei, wabak itu baru-baru ini yang dikesan di 11 negara setakat ini adalah “atipikal (bukan biasa), kerana ia berlaku di negara bukan endemik.” WHO berkata terdapat kira-kira 80 kes disahkan dan 50 siasatan belum selesai, dengan lebih banyak kes mungkin dilaporkan dalam masa terdekat.
“Individu yang berinteraksi rapat dengan seseorang yang menjangkiti lebih berisiko untuk dijangkiti: ini termasuk pekerja kesihatan, ahli isi rumah dan pasangan seksual,” jelas WHO.
Monkeypox bermula dengan gejala seperti selesema yang termasuk demam, sakit otot, dan keletihan, serta pembengkakan nodus limfa. Dalam beberapa hari selepas demam, ruam timbul di muka dan badan, yang juga boleh merangkumi kawasan kemaluan atau perianal, kata CDC. Tempoh inkubasi—jangka masa bermula jangkitan kepada gejala—berkisar antara 5 hingga 21 hari.
Simptom virus monkeypox pada tangan pesakit yang hampir sembuh, kes pada 5 Jun 2003. (Gambar ihsan CDC/Getty Images)
Penyakit ini biasanya sembuh dengan sendiri bersama gejala berlarutan dari 2 hingga 4 minggu, walaupun kes yang teruk boleh berlaku malah boleh mengakibatkan kematian, dengan kadar kematian baru-baru ini adalah sekitar 3 hingga 6 peratus, menurut WHO.
Amerika Syarikat mengesahkan satu kes monkeypox di Massachusetts, yang pertama pada tahun ini. CDC berkata pihak mereka telah bekerjasama dengan jabatan kesihatan negeri untuk menyiasat kes itu. Pesakit yang terlibat mempunyai virus monkeypox strain Afrika Barat, dan kini diasingkan, CDC dalam satu kenyataan. Pesakit baru-baru ini berada di Kanada, di mana dua kes pertama monkeypox atau cacar monyet disahkan pada 19 Mei di Quebec.
Satu lagi kes monkeypox yang disyaki sedang disiasat di New York City.
Pada tahun 2021, Amerika Syarikat mempunyai dua kes monkeypox yang disahkan, satu di Maryland dan satu di Texas. Kedua-dua kes melibatkan individu yang pergi ke Nigeria, di mana virus itu adalah endemik.
Pentadbiran Presiden Biden pada 18 Mei telah mengumumkan perintah untuk berjuta-juta dos vaksin yang bertujuan untuk melindungi daripada penyakit cacar dan monkeypox dari Bavarian Nordic, sebuah syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Denmark. Vaksin ini diluluskan di bawah nama Jynneos di Amerika Syarikat, yang tersedia untuk mereka yang berisiko tinggi terkena cacar dan cacar monyet (monkeypox).
Virus monkeypox. (Gambar CDC/REUTERS)
“Jynneos tidak mengandungi virus yang menyebabkan cacar atau monkeypox. Ia diperbuat daripada virus vaccinia, virus yang berkait rapat dengannya, tetapi kurang berbahaya daripada virus variola atau monkeypox dan boleh melindungi daripada kedua-dua penyakit ini,” Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) menyatakan pada September 2021, semasa meluluskan vaksin. “Jynneos mengandungi bentuk diubah suai dengan virus vaccinia dikenali Modified Vaccinia Ankara, yang tidak menyebabkan penyakit kepada manusia dan tidak mereplikasi, bermakna ia tidak boleh membiak dalam sel manusia.”
Menurut CDC, kerana virus monkeypox berkaitan dengan virus yang menyebabkan cacar, vaksin itu boleh melindungi orang ramai daripada mendapat cacar monyet (monkeypox).
“Data lampau dari Afrika menunjukkan vaksin cacar sekurang-kurangnya 85 peratus berkesan dalam mencegah cacar monyet,” kata CDC. “Keberkesanan Jynneos terhadap monkeypox telah disimpulkan daripada kajian klinikal mengenai imunogenisiti Jynneos dan data keberkesanan daripada kajian haiwan.”
“Vaksin cacar dan monkeypox berkesan untuk melindungi orang ramai daripada monkeypox apabila diberikan sebelum terdedah kepada monkeypox. Pakar juga percaya vaksinasi selepas pendedahan monkeypox boleh membantu mencegah penyakit itu atau menjadikannya kurang teruk,” tambah CDC.
Isu kesesakan jalan raya terutama di bandar-bandar besar bukan lagi isu yang baru diperdebatkan. Kawasan yang padat dengan penduduk seperti di Lembah Klang berhadapan dengan situasi ini lebih-lebih lagi sudah banyak syarikat mewajibkan pekerja untuk kembali bekerja di pejabat. Hasilnya, setiap hari masalah kesesakan jalan raya akan berlaku menyebabkan ramai antara kita yang terkesan.
Banyak idea atau cadangan diketengahkan oleh orang awam dengan harapan akan didengari oleh pihak berwajib namun sehingga kini isu ini seolah-olah tiada penghujungnya.
Baru-baru ini sebuah video tular di Twitter yang menunjukkan bagaimana dua lorong bas yang telah dibina kini digunakan untuk melancarkan perjalanan bas. Apa yang menariknya, dengan kewujudan lorong seperti itu dilihat dapat membuatkan perjalanan bas lebih cepat jika dibandingkan dengan memandu kereta.
Sejak tularnya video yang menunjukkan sistem bas di kota Jakarta itu telah menimbulkan pelbagai debat dan perbincangan oleh rakyat Malaysia mengenai sistem pengangkutan awam di negara jiran itu. Ramai yang muncul dengan persoalan sama ada sistem seperti itu akan berfungsi dengan baik jika dilakukan di Malaysia.
Seorang netizen telah memberikan pendapatnya mengenai hal tersebut dengan mengatakan bahawa Malaysia tidak memerlukan pengakutan awam yang mahal seperti bas elektrik ataupun stesen bas yang mewah, apa yang diperlukan ialah sistem dua lorong seperti yang ditunjukkan di dalam video itu. Penyelesaian tersebut lebih ringkas kernaa dengan menggunakan teknologi sedia ada sudah boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas.
— Transformative Urban Mobility Initiative (@TUMInitiative) May 12, 2022
Menurut catatan Facebook yang dimuat naik oleh Sedap Tau, bas lazimnya menghadapi masalah kelewatan kerana menggunakan jalan yang sama seperti kenderaan bermotor lain yang menyebabkan mereka terperangkap dalam kesesakan dengan kenderaan lain.
Jadi, antara solusi untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya ialah dengan mewujudkan lorong khas bas.
Kelebihan lorong bas ialah:
Kelebihan 1: bas boleh bergerak tanpa sekatan, ia akan tiba tepat pada masanya sama seperti MRT. Bila tepat masa barulah boleh diharap untuk pergi kerja hari-hari. Kelebihan 2: Kos tak terlalu tinggi macam bina MRT sebab buat divider atas jalan sedia ada.
Selain itu, seorang lagi netizen berpendapat bahawa lorong khas bas seperti itu mungkin boleh menjadikan pengangkutan awam seperti bas lebih mudah untuk diakses. Pengguna juga tidak perlu berjalan jauh untuk mendapatkan bas selain masa yang diambil bas untuk sampai ke destinasi akan menjadi lebih cepat.
Namun begitu, di sebalik itu, ada cabaran dan kekangan terhadap idea tersebut. Antara cabarannya ialah jika lorong khas ini dibina akan menyebabkan saiz jalan raya bertambah kecil. Jadi, mereka yang memandu kereta sendiri pula perlu bersesak kerana jalan menjadi semakin sempit untuk menampung puluhan ribu kereta dalam satu-satu masa.
Hal ini pasti tidak akan disenangi oleh mereka yang memandu ke tempat kerja seperti yang dikatakan oleh seorang netizen yang mengatakan bahawa Malaysia sangat mengutamakan kereta. “Melainkan Malaysia akan menyelesaikannya seperti cara Seoul melakukannya, memaksa orang ramai mencari alternatif berbanding kereta.”
Walau bagaimanapun, idea untuk membina lebih banyak lorong di jalan raya boleh mengurangkan kesesakan adalah mitos kerana lebih banyak lorong bermakna akan lebih banyak kereta berada di atas jalan.
Di samping itu, penyelesaian ini mungkin tidak menguntungkan ahli politik kerana ia bukan projek mega seperti pembinaan laluan baru bagi LRT.
Minggu lalu kita digemparkan dengan kejadian yang menimpa dua orang pendaki yang hilang dipercayai dihanyutkan kepala air ketika aktiviti pendakian Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Pihak bomba dikatakan telah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 6.55 pagi dengan mangsa bersama ahli kumpulannya dipercayai meredah hutan untuk menghala ke puncak gunung.
Sejak kejadian itu berlaku, pihak bomba dan penyelamat bersama dengan Unit Anjing Pengesan K9 telah bertungkus lumut untuk mencari mangsa. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa untuk mencari mangsa yang dihanyutkan air deras bukanlah tugas yang mudah lebih-lebih lagi apabila mangsa hanyut ekoran kejadian kepala air.
Jadi, untuk tujuan itu pencarian kali ini memerlukan bantuan anjing pengesan untuk mengesan keberadaan mangsa. Antara anjing pengesan yang terlibat untuk misi kali ini ialah anjing bernama Blake. Ramai yang tidak tahu bahawa Blake bukan sahaja berani malah terus kuat untuk mencari mangsa dalam keadaan kesejukan.
Sebuah video yang tular baru-baru ini di laman TikTok telah menarik perhatian ramai tentang kecekalan anjing tersebut. Dalam video tersebut Blake kelihatan dalam keadaan kesejukan. Jika diperhatikan betul-betul dia juga sepertinya dalam keadaan menggigil menahan sejuk. Walaupun dia diberikan jaket bomba pada tubuhnya, dia tetap kelihatan kesejukan.
Rata-rata netizen memuji apa yang dilakukan oleh anjing itu dan ada juga yang meluahkan rasa kasihan mereka kepada Blake kerana terpaksa berada dalam keadaan seperti itu.
Sehingga kini video tersebut telah ditonton lebih daripada 300 ribu kali dan menerima lebih 25 ribu ‘like’ oleh netizen di laman sosial itu.
Melihat keadaan Blake dalam video itu ada segelintir netizen yang menyarankan agar pihak bertanggungjawab tetap menjaga keselamatan dan kesihatan anjing tersebut. Menurut mereka anjing tersebut juga perlu diberi perhatian kerana dia juga ‘bekerja’.
Selain itu, ada yang menitipkan akata-kata semangat supaya Blake terus kuat. Tidak hanya itu, ada yang menganggap Blake sebagai ‘hero’ dalam misi pencarian tersebut. Tanpa bantuan Blake misi pencarian mangsa pastinya akan menjadi lebih rumit dan memakan masa yang lebih panjang. Terima kasih Blake!
Dunia kini dikatakan hanya mempunyai kira-kira 10 minggu sebelum bekalan gandum yang tinggal dalam simpanan habis. Hal ini berlaku ekoran konflik di Ukraine ditambah lagi dengan India yang telah bertindak menghentikan eksport gandum dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kata seorang pakar keselamatan makanan.
REUTERS/Jim Young
Sara Menker, Ketua Pegawai Eksekutif firma analisis pertanian Gro Intelligence, memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 19 Mei lalu bahawa perang Rusia-Ukraine “telah menambah minyak kepada kebakaran” yang sedang berlaku kini. Ukraine dan Rusia kedua-duanya menghasilkan hampir satu pertiga daripada gandum dunia.
“Saya mahu mengatakan bahawa perang Rusia-Ukraine bukanlah permulaan kepada krisis keselamatan makanan. Ia hanya menambah buruk keadaan yang sedia ada. Krisis yang kami kesan telah berlaku sebelum pandemik Covid-19 yang mendedahkan ‘kerapuhan’ rantaian bekalan,” kata Menker.
“Saya berkongsi perkara ini kerana kami percaya ia adalah penting untuk anda semua memahami bahawa walaupun perang akan berakhir esok, masalah keselamatan makanan tidak akan hilang dalam masa terdekat tanpa tindakan bersepadu.”
Dalam menyediakan data, Menker berkata disebabkan kenaikan harga dalam tanaman utama tahun ini, ia menjadikan 400 juta di seluruh dunia “tidak mendapat jaminan makanan,” sambil menambah bahawa gandum dunia “pada masa ini hanya (mempunyai) 10 minggu bagi penggunaan global melalui simpanan dalam inventori di seluruh dunia.
“Keadaan hari ini lebih teruk daripada yang dialami pada 2007 dan 2008,” katanya.
“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa tahap inventori bijirin terendah yang pernah dilihat dunia kini berlaku manakala akses kepada baja sangat terhad, dan kemarau di kawasan penanaman gandum di seluruh dunia adalah yang paling melampau sejak lebih 20 tahun. Kebimbangan inventori yang serupa juga berlaku untuk jagung dan bijirin lain. Anggaran kerajaan tidak bertambah.”
Ukraine menggabungkan hasil tuaian
REUTERS/Valentyn Ogirenko
Minggu lalu, Setiausaha Negara A.S. Antony Blinken menuduh Rusia menghalang Ukraine daripada mengeksport gandum, yang telah dinafikan secara mutlak oleh Rusia. Blinken mendakwa Moscow menggunakan gandum sebagai senjata perang.
Menurutnya, dengan menggunakan makanan sebagai senjata akan membantu kerajaan Rusia untuk mematahkan semangat rakyat Ukraine.
Bagaimanapun, Menker menyatakan bahawa kemarau di seluruh dunia menyumbang kepada kekurangan gandum, manakala kekurangan baja dan isu cuaca lain telah menyebabkan situasi bertambah teruk.
Komen Menker mengikuti pendapat David Beasley, pengarah eksekutif Program Makanan Sedunia, yang berkata dunia kini menghadapi “krisis yang belum pernah terjadi sebelumnya,” dengan menyatakan bahawa 49 juta orang di 43 negara akan mengalami kebuluran. Tambahnya lagi, keadaan seperti itu (kelaparan) bakal menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik.
“Kami sudah melihat rusuhan dan bantahan berlaku semasa kami bercakap di Sri Lanka, Indonesia, Pakistan, Peru,” katanya.
“Kami telah melihat dinamik yang tidak stabil di Sahel dari Burkina Faso, Mali, Chad. Ini adalah tanda-tanda bahawa masalah kebuluran akan terjadi.”
Suatu ketika dahulu, idea untuk melakukan transformasi sebuah bas sekolah untuk dijadikan sebagai surau bergerak pernah tular ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini pemiliknya begitu teruja apabila hasratnya mewakafkan sebuah bas sekolah mini untuk dijadikan surau bergerak tercapai dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu yang memberi khidmat pelesenan dan undang-undang.
Menerusi laporan Bernama, Yusuf Hadi Al Hafidz Sapai, 41, yang juga Pengerusi Terengganu Food Truck berkata, beliau membeli kenderaan terpakai itu pada harga RM8,000 daripada seorang kawan untuk diubah suai menjadi kendera saji namun pelaksanaan PKP pada Mac 2020 menyebabkan aktiviti perniagaannya terhenti.
“Selepas berbincang bersama rakan peniaga lain, akhirnya saya memutuskan mahu mengubah suai bas sekolah mini itu menjadi surau bergerak.
“Hasil sumbangan orang ramai, proses ubah suai dengan kos hampir RM40,000 ini berjaya direalisasikan dan saya berterima kasih kepada JPJ Terengganu kerana berjaya mendaftarkannya secara sah di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak mengikut peraturan,” katanya.
Dilengkapi pelbagai kemudahan untuk beribadah, bas bergerak ini mampu menampung 19 orang jemaah dalam satu-satu masa.
Surau bergerak berkenaan turut dilengkapi pendingin hawa, tempat mengambil wuduk, ruang imam, lampu, jam waktu solat serta bumbung bagi ruangan solat di bahagian luar kenderaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya sedia membantu mana-mana pihak atau individu untuk mengubah suai kenderaan ke surau bergerak seperti mana yang dilakukan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Terengganu sebagai tanggungjawab sosial mereka.
“Tidak semestinya umat Islam sahaja, apa-apa bangsa dan agama yang berhasrat melakukan ubah suai kenderaan untuk sesuatu yang bermanfaat kepada orang ramai pun akan dibantu agar mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan JPJ.
“Surau bergerak ini yang diletakkan di dataran jambatan angkat diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu kerana kewujudannya dapat memberi kemudahan solat yang selesa kepada umat Islam yang berkunjung ke kawasan tersebut,” katanya lagi.
Lokasi surau bergerak ini adalah di tapak perniagaan kendera saji atau food truck di parkir kenderaan jambatan angkat (drawbridge), Kuala Terengganu.
Selain itu, surau bergerak ini juga menyediakan kemudahan untuk pekerja atau pengunjung untuk mendirikan solat dengan lebih mudah.